Pengenalan
Kaunseling merupakan satu hubungan yang professional di antara kaunselor yang terlatih dengan klien sama ada secara individu atau berkumpulan bagi mengatasi kebuntuan dengan bimbingan kaunselor bagi mencapai matlamat yang ditetapkan secara tepat dan cepat. Di dalam mengendalikan proses kaunseling, terdapat pelbagai teori yang diguna pakai bagi membantu kaunselor mengatasi pelbagai permasalahan yang dibawa oleh klien. Teori-teori ini telah dikaji selidik bagi merungkai pemahaman mengenai jiwa manusia. Penyelidikan mengenai cara pemikiran dan jiwa manusia ini telah banyak memberi manfaat kepada pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan manusia. Kajian ini juga telah memberikan sumbangan yang besar kepada bidang pendidikan yang memerlukan pemahaman mengenai cara manusia berfikir dan bertingkah laku. Kajian ini juga memberi manfaat kepada bidang kaunseling bagi mengatasi memberikan pengetahuan kepada kaunselor untuk membimbing klien mengatasi masalahnya.
Menurut kamus dewan m.s 1341 teori bermaksud pendapat yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Ianya juga merupakan satu andaian yang mengandungi beberapa idea dan pandangan yang menjelaskan sesuatu kejadian atau fenomena. Teori ini memberikan kesan yang amat mendalam bagi pelaksanaan sesi kaunseling. Kaunselor dapat mengetahui dan meramal tingkah laku klien dan seterusnya memudahkan kaunselor membimbing klien bagi menyelesaikan masalah mereka. Sebagai contohnya dengan menggunakan teori yang sedia ada, kaunselor akan lebih mudah untuk meramal dan menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh kliennya.
Penggunaan teori behaviorisme amatlah penting dan mempunyai kesan yang amat mendalam di dalam aspek pendidikan. Ini kerana kesemua aplikasi teori ini menyentuh pelbagai aspek yang terkandung dalam sistem pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah menurut Gardner, 2000 dalam merancang pengajaran sesuatu konsep atau kemahiran, seseorang guru akan menulis objektif untuk perlakuan yang boleh diukur atau diperhatikan pada akhir pengajaran. Guru juga tidak perlu mengambil tahu apa yang muridnya telah tahu atau mengambil kira apakah perubahan yang mungkin berlaku dalam minda muridnya semasa pengajaran. Selain dengna ini, Guru hanya mengatur strategi dengan memberi ganjaran kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang dikehendaki dengan menekankan latih tubi. Secara tidak langsung guru hanya menekankan kepada apa yang murid boleh lakukan, bukannya kefahaman murid.
Peranan dan sumbangan sesuatu teori amatlah penting di dalam membantu kaunselor atau pun guru di dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan murid, guru dan persekitarannya. Dengan ini juga, para kaunselor dapat menyelesaikan masalah kliennya dengan lebih professional dan berkualiti. Sememangnya kewujudan teori juga amat berguna kepada manusia di dalam menjalani seharian terutamanya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Kepentingan dan Fungsi Teori Dalam Kaunseling berdasarkan Pendapat Tokoh-tokoh Tentang Teori Kaunseling
Di dalam proses kaunseling, terdapat pelbagai pendapat daripada tokoh-tokoh mengenai penggunaan teori semasa pelaksanaan sesi kaunseling. Arnold Lazarus (1981) mengatakan bahawa kaunselor atau terapis tidak memerlukan teori. Smith dan Glass (1977) pula berpendapat bahawa pandangan sesuatu teori itu diberikan taraf kepentingan yang begitu tinggi yang tidak sepatutnya. Pandangan begitu berasaskan dakwaan bahawa semua kaunselor melakukan aktiviti yang sama, mendapat keputusan yang sama, malah ada yang menggunakan teknik-teknik yang tidak bersangkut paut dengan teori yang didukungnya. Ini bermakna teori yang didukungnya itu nampaknya tidak memberi apa-apa faedah.
Jerome Frank (1971), pula berpendapat bahawa teori amat penting kepada orang yang mengamalkannya. Baginya, teori itu penting sebab ia memberi erti, keyakinan, dan hala tuju kepada kaunselor. Jadi, kita boleh membuat kesimpulan daripada keterangan Frank bahawa teori memberi fokus kepada kaunselor tentang apa yang dilakukannya terhadap kliennya. Dengan demikian, kaunselor dapat memberi sepenuh perhatian dan tenaga terhadap apa yang difikirkannya menjadi punca masalah yang dialami oleh kliennya.
Keperluan teori dalam pelaksanaan kaunseling adalah amat penting. Dalam satu proses kauseling, teori-teori ini diperlukan bagi memudahkan kaunselor memilih pendekatan yang bersesuaian bagi membimbing klien yang bermasalah. Dengan adanya kajian dan teori-teori ini juga memudahkan kaunselor untuk memahami tingkah laku klien dan seterusnya meramalkan tingkah laku klien. Berdasarkan teori-teori ini juga dapat melahirkan kaunselor yang lebih berilmu dan professional dalam menangani masalah klien dalam sesuatu sesi kaunseling.
Selain dari itu, dengan pengetahuan melalui teori kaunseling, kaunselor dapat menjelaskan sesuatu kejadian yang berlaku setelah membuat beberapa pemerhatian. Sebagai contoh, dalam satu kes masalah tingkah laku pelajar yang mempunyai sikap yang suka membuli di sekolah. Setelah kaunselor membuat pemerhatian mengenai latar belakang pelajar tersebut di dapati bahawa kedua ibu bapa pelajar tersebut sering menggunakan kaedah hukuman kepadanya jika melakukan kesalahan. Justeru, melalui teori kaunseling behaviorisme yang dipelajari, kaunselor dapat menjelaskan bahawa tingkah laku tersebut merupakan salah satu impak negatif kepada tingkah laku murid tersebut hasil daripada pelaziman operan yang diamalkan oleh kedua ibu bapanya.
Teori kaunseling juga dapat membantu kaunselor untuk menguasai sesuatu keadaan tertentu. Sebagai contoh, bagi mengatasi klien yang tidak mahu bekerjasama kaunselor boleh menggunakan teori pelaziman operan di mana kaunselor memberikan peneguhan positif kepada klien jika mengeluarkan sesuatu pendapat bagi merangsang klien supaya dapat bekerjasama untuk meneruskan sesi kaunseling.
Komponen Utama Dalam Teori Behaviorisme
Komponen Pertama
Komponen ini diaplikasikan dari teori pelaziman klasikal dan juga dikenali sebagai pelaziman responden. Ivan P. Pavlov (1960) dan Hull( 1943) telah menjadi pengasas bagi kompenen ini. Pavlov dalam kajiannya telah menemui satu proses yang dikenali sebagai pengkondisian atau pensyaratan klasik. Percubaan tersebut telah dilakukan terhadap seekor anjing. Dalam kajian ini peransang asli dan neutral dipasangkan dengan stimulus bersyarat secara berulang-ulang sehingga memunculkan reaksi yang diinginkan. Eksperimen-eksperimen yang dilakukan oleh Pavlov sangat terpengaruh dengan pandangan behaviorisme di mana gejala-gejala kejiwaan seseorang dapat dilihat dari perilakunya. John B.Watson (1920) telah menggunakan prinsip pelaziman klasikal yang diasaskan oleh Pavlov dalam eksperimennya. Dalam eksperimen tersebut Watson menggunakan rangsangan tidak terlazim (bunyi loceng) yang digandingkan dengan ransangan dilazimkan (tikus putih) ini mengakibatkan respon terlazim (terperanjat dan rasa takut).Watson berpendapat tingkah laku manusia boleh dilihat dan juga boleh diukur. Beliau juga berpendapat tingkah laku dipengaruhi oleh persekitaran dan bukannya unsur-unsur dalaman. Eksperimen ini telah menjadi perkara asas dalam kefahaman teori behaviorisme. Melalui eksperimen ini dapat disimpulkan bahawa emosi seseorang boleh dipelajari dan diubah dengan prinsip pembelajaran. Berdasarkan pandangan melalui pendekatan ini tingkah laku adalah satu gerak balas yang dipelajari dengan wujudnya ransangan. Aspek emosi diberi penekanan dalam komponen pertama yang mengembangkan pendekatan behaviorisme.
Berdasarkan eksperimen yang dilakukan oleh Watson dapat dijelaskan bahawa perkembangan diri individu sama ada positif atau negatif dapat diubah melalui pengalaman, latih tubi dan rangsangan yang tertentu. Sebagai contoh, seorang murid yang sering menimbulkan masalah di dalam bilik darjah tiba-tiba senyap dan menunjukkan tingkah laku yang positif. Jika guru memberikan ransangan seperti pujian dan ganjaran kepada murid tersebut ia dapat menukar tingkah laku negatif tersebut kepada tingkah laku yang positif.
Komponen kedua.
Komponen kedua adalah pelaziman operan yang telah diasaskan oleh B.F.Skiner (1953). Menurut kajian beliau peneguhan adalah sesuatu yang memungkinkan sesuatu tingkah laku itu diulang kerana ada unsur keselesaan atau rasa senang. Skiner menyatakan peneguhan boleh dibahagikan kepada dua iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif merupakan ganjaran berbentuk wang atau pujian, manakala peneguhan negatif pula ialah seperti menghilangkan ransangan yang negatif sebagai contoh mengenakan kejutan elektrik atau dendaan. Menurut Skiner penggunaan prinsip pelaziman operan sebagai satu teknik mengubah tingkah laku individu dinamakan teknik modifikasi tingkah laku.
Skiner menegaskan peneguhan adalah amat penting dalam proses pembelajaran. Sekiranya peneguhan bagi sesuatu tingkah laku operan tidak diberikan dalam satu jangka masa yang panjang, besar kemungkinan tingkah laku operan tidak akan berlaku. Fenomena ini disebut sebagai penghapusan. Unsur ini merupakan elemen negatif yang boleh menamatkan sesuatu tingkah laku operan. Oleh yang demikian dalam sesuatu proses pembelajaran peneguhan perlu disampai dari masa ke semasa dan secara kekal untuk menjamin berlakunya tingkah laku tersebut secara berterusan. Pendekatan ketingkahlakuan yang dinyatakan oleh Skiner ini merupakan salah satu komponen yang menyumbang kepada kewujudan teori kaunseling behaviorisme.
Sebagai contoh, di dalam bilik darjah seorang murid rajin menjawab soalan yang diutarakan oleh gurunya. Namun, tidak diberi perhatian dan peneguhan seperti pujian oleh guru. Lama kelamaan murid tersebut hilang motivasi dan tidak lagi menjawab soalan yang diberikan oleh guru di dalam kelas kerana tiadanya peneguhan positif daripada guru tersebut.
Komponen ketiga.
Komponen ketiga yang menyumbang kepada terbentuknya teori behaviorisme adalah dikenali sebagai terapi tingkah laku kognitif “Cognitive behavior therapy”. Terapi ini merupakan gabungan dari dua aliran pemikiran berbeza, iaitu pendekatan yang berasaskan tingkah laku dan satu lagi berasaskan kognitif. Istilah kognitif ini merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep dan menyelesaikan masalah. Menurut ahli psikologi dalam proses pembelajaran, pelajar membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Mereka juga berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan menggunakan semula segala pengalaman yang disimpan untuk membolehkan ia menghubungkait pengalaman tersebut dengan masalah yang dihadapinya. Semua perkara-perkara yang dinyatakan oleh ahli psikologi di atas merupakan komponen-komponen yang memungkinkan wujudnya terapi behaviorisme.
Sebagai contoh, di dalam bilik darjah seorang murid mendapat markah rendah dalam ujian bulanan kerana tidak mengulang kaji pelajaran dan murid tersebut merasa malu kerana mendapat markah yang rendah. Berdasarkan pengalaman dan pemikirannya dia sendiri dapat berfikir jika dia mengulang kaji pelajaran dia akan mendapat markah yang lebih baik. Oleh itu, murid tersebut akan mengulang kaji pelajaran pada ujian yang berikutnya bagi mengelakkan dia mendapat markah yang rendah.
Tingkah Laku Maladaptif
Tingkah Laku Maladaptif merupakan tingkah laku yang ditegah atau tidak sesuai di dalam sesuatu masyarakat (maladapted behaviour). Orang yang melakukan tingkah laku maladaptif dianggap tidak dapat menyesuaikan diri di dalam masyarakatnya (maladjusted person). Mengikut pendekatan behaviorsme, tingkah laku maladaptif adalah satu tingkah laku yang dipelajari. Selain itu juga, tingkah laku maladaptif ini juga bersifat bertentangan dengan semulajadi. Tabiat merokok merupakan salah satu contoh bagi tingkah laku maladaptif. Tingkah laku ini adalah satu perbuatan yang telah dipelajari tetapi pada teorinya tabiat yang dianggap maladaptif ini boleh dibuang atau dihilangkan.
Tingkah laku maladaptive boleh dilihat dari berbagai sudut. Ia dapat dilihat dari sudut pergaulan seperti mencuri dan berbohong. Perbuatan ini sering berlaku di tempat-tempat tertentu seperti sekolah, pasaraya, kawasan-kawasan perumahan, dan juga di rumah-rumah ibadat seperti masjid, gereja dan kuil. Dari sudut adat dan budaya dan pandangan masyarakat pula tingkah laku ini dapat dilihat dari segi pemakaian pakaian yang menjolok mata, pertuturan yang menggunakan bahasa yang kasar, makan dan minum ketika berjalan, dan tidak bercampur gaul dengan masyarakat setempat.
Perbuatan yang ditegah oleh undang-undang dan larangan agama boleh juga dianggap tingkah laku Maladaptif. Contohnya seperti menghisap rokok, merompak, penyalahgunaan dadah, minum arak dan berzina. Tingkah laku maladaptive ini adalah satu tingkah laku abnormal (tingkah laku tidak normal) ialah tingkah laku yang terkeluar daripada keluk normal. Tingkah laku abnormal juga bermaksud perbuatan yang terkeluar daripada tatacara kehidupan serta nilai yang ada dalam masyarakat itu.
Lili Mastura dan Wan Ramli Rafaei (dalam Mohd Nazar Mohamed, 1990) menyimpulkan tentang persepsi pelajar Melayu terhadap tingkah abnormal sebagai berbahaya kepada masyarakat, menjatuhkan nama baik keluarga, menyusahkan orang lain dan sebagainya.
Terdapat dua aspek tingkah laku maladaptif iaitu maladaptif pada keupayaan seseorang bagi mencapai matlamat dalam kehendak kehidupan. Maladaptif pada penglibatan masyarakat dalam menghalang ataupun menggugat fungsi kumpulan sosial.
Bagaimanakah tingkah laku maladaptive ini dipelajari?
Menurut Myers dan Roberts (1959) semua pembelajaran adalah melalui pengalaman responden atau operan. Oleh yang demikian, tingkah laku yang dianggap maladaptif itu dipelajari bagi mendapatkan peneguhan positif atau untuk mengurangkan sakit atau perasaan yang kurang selesa. Sebagai contoh bagi tingkah laku maladaptif ini adalah, jika seseorang murid itu tidak merasa selesa atau selamat berada di sekolah, murid tersebut akan membuat helah seperti menyatakan bahawa dia sakit perut. Jika kedua ibu bapa menjaga dan memberikan perhatian kepadanya dan tidak menghantarnya ke sekolah, murid tersebut akan terus mengadakan pelbagai helah bagi mengelakkan daripada dirinya ke sekolah. Sakit merupakan alasan atau tingkah laku yang terbaik baginya untuk mengelak daripada hadir ke sekolah.
Dari perspektif pembelajaran pula, jika rangsangan yang menyakitkan digandingkan dengan rangsangan yang neutral, lama kelamaan rangsangan neutral itu akan mengeluarkan respon yang maladaptif. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan tingkah laku ini terjadi akibat desakan naluri sendiri untuk melakukannya. Faktor-faktor yang mempengaruhi tingkah laku ini adalah persekitaran. Persekitaran yang dimaksudkan adalah dari segi pengaruh rakan sebaya, masyarakat dan media.
Sebagai contoh tingkah laku maladaptif ini boleh dipelajari daripada peniruan. Dalam pergaulan seharian, anak-anak akan lebih banyak berinteraksi bersama rakan sebaya. Tingkah laku ini mungkin terdapat pada rakan-rakan mereka dan secara langsung atau tidak langsung dapat mempengaruhi individu meniru tingkah laku tersebut.
Tingkah laku maladaptif ini juga berlaku pada penglibatan masyarakat dalam menghalang ataupun menggugat fungsi kumpulan sosial. Lazimnya tingkah laku maladaptif yang melibatkan masyarakat atau kumpulan sosial terjadi akibat konflik yang berlaku di dalam sesebuah organisasi ia juga boleh menghasilkan kesan negatif. Individu yang tidak dapat mencapai matlamat atau kehendak mereka cenderung untuk melakukan tingkah laku ini. Tingkah laku maladaptive yang dimaksudkan di sini adalah sikap benci membenci, kemurungan, permusuhan, saling tidak percaya, tuduh menuduh, tiadanya kerjasama, sabotaj dan sebagainya.
Strategi Di Dalam Teori Kaunseling Behaviorisme Bagi menghadapi Masalah Tingkah Laku Maladaptif
Tingkah laku maladaptif lebih menjurus kepada sesuatu budaya, masa, kelas sosial dan situasi. Terdapat beberapa teori kaunseling behaviorisme dan strategi kauseling yang boleh digunakan untuk membantu klien bagi menghadapi tingkah laku ini. Strategi tersebut adalah Role Play, Latihan Asertif, Token Ekonomi (Hadiah), Pengurusan Kendiri, Pemantauan Kendiri dan Peneguhan Kendiri.
‘Role Play’
‘Role Play’ adalah satu lakonan dan latihan yang dibimbing oleh kaunselor dengan mempunyai tujuan yang khusus. Role play merupakan teknik terbaik untuk meluaskan kesedaran klien dan menunjukkan bahawa terdapat pelbagai alternative untuk melakukan tingkah laku lain. Contohnya menggunakan role-play bila membuat latihan asertif, modeling (mencontohi perbuatan orang lain), dan kaunseling kerjaya. Kaedah ini sesuai bagi menyelesaikan masalah klien yang sukar untuk meluahkkan perasaan atau klien yang pemalu. Kaunselor boleh memainkan peranan bagi orang lain manakala klien akan meluahkan perasaan atau menyatakan sesuatu. Klien dan kaunselor sebenarnya berlakon seolah-olah berada di keadaan atau di situasi yang sebenar. Kaedah main peranan ini merupakan satu teknik yang baik untuk meluaskan kesedaran klien dan menunjukkan bahawa ada banyak alternatif untuk melakukan tingkah laku lain yang terdapat dalam diri klien.
Walaubagaimanapun, bagi menjayakan kaedah main peranan ini, ia amat bergantung kepada kesungguhan kaunselor dan juga kesedian klien itu sendiri. Sebagai contoh, bagi seorang murid yang pemalu untuk bercakap dalam satu kumpulan perbincangan boleh diajar dengan cara role-play, di mana murid itu diminta mengeluarkan pendapat kepada kaunselornya. Kaunselor membimbing murid tersebut agar dapat berkomunikasi dengan baik. Kaunselor juga mewujudkan suasana yang selamat bagi murid tersebut untuk menyatakan pendapatnya di mana kaunselor dan murid tersebut berlakon sebagaimana situasi sebenar di dalam kelas. Setelah kaunselor merasakan bahawa klien dapat membuka ruang pada dirinya untuk berkomunikasi dengan baik dan mempunyai keyakinan diri untuk bercakap di hadapan kumpulannya barulah klien diminta untuk bercakap di hadapan kumpulan tersebut. Dalam kaedah ini, kaunselor cuba sedaya upaya untuk mewujudkan situasi sebenar dan klien memainkan peranan untuk mengatasi masalahnya. Dengan cara ini klien dapat merasakan dirinya selamat dan sekali gus dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Latihan Asertif
Strategi latihan asertif juga boleh digunakan untuk membantu klien yang menghadapi masalah tingkah laku maladatif ini. Teknik ini dapat memberi kekuatan secara aktif untuk memulakan tingkah laku pilihan yang dikehendaki, strategi ini juga dapat mengajar klien yang lemah serta tidak bermotivasi supaya dapat bertindak dengan lebih produktif. Latihan asertif adalah satu teknik untuk mengajar klien menambahkan keyakinan diri berhadapan dengan orang yang dianggap sebagai ancaman pada dirinya. Teknik ini digunakan bukan untuk mengajar klien menjadi seorang yang agresif bagi mengatasi masalah yang dihadapinya.
Matlamat asas bagi latihan asertif ialah untuk memberi kekuatan secara aktif untuk memulakan tingkah laku pilihan yang dikehendaki, iaitu lantas bertindak tanpa memberi kecederaan fizikal dan emosi terhadap orang lain dan bagi mengajar klien yang pasif, mempunyai sifat bergantung dan tidak bermotivasi, supaya mencari alternatif, iaitu bertindak dengan mengambil jalan yang lebih produktif.
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan dalam kaedah asertif ini iaitu melalui penerokaan masalah, menaarif masalah, melakonkan situasi-situasi pasif, agresif dan asetif yang biasa dihadapi oleh klien. Bagi menjalankan latihan “role-revesal” iaitu melakonkan situasi yang menjadi punca klien tidak boleh melakukan tingkah laku asertif haruslah dilakukan sedikit demi sedikit. Apabila klien sudah ada keyakinan dan sudah merasa selesa dan boleh membuat respon dengan cara baru ini, baarulah klien cuba melakukannya diluar bilik kaunselor iaitu pada keadaan sebenar atau di alam dan bukan sekadar lakonan.
Sebagai contoh, bagi mengatasi masalah murid yang gugup dan gementar apabila bercakap dikhalayak ramai dan perlu menghadiri sesi ujian lisan secara berkumpulan. Kaunselor boleh membimbing murid tersebut dengan melatih klien bercakap dengan memberikan topik yang dipilih di dalam bilik kaunseling secara individu. Ini dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunselor juga perlu memberikan nasihat dan tips-tips bagi mengatasi masalah tersebut. Dengan cara ini klien akan merasa selamat dan lebih bersedia untuk mengatasi masalah gugup bagi menduduki ujian lisan tersebut.
Token Ekonomi (Hadiah)
Token Ekonomi (Hadiah) bermaksud satu prosedur yang teratur di mana token atau hadiah diberikan sebagai peneguhan untuk tingkah laku yang baik dan bersesuaian. Token yang diberi adalah dalam bentuk benda seperti bintang, gelang, kad, duit syiling plastik, markah, atau apa sahaja benda yang boleh ditunaikan atau ditebus (cashed in) dengan barang-barang bernilai atau kemudahan-kemudahan tertentu (privileges). Kaedah ini didapati amat berkesan dalam membantu klien yang menghadapi masalah perlakuan yang biasa atau perlakuan yang kompleks dan juga sesuai untuk menghapuskan tingkah laku maladatif dan menukarkannya kepada tingkah laku yang baik dan bersesuaian dengan kehendak persekitaran dan masyarakat. Walaupun terdapat sedikit masalah turutamanya untuk memastikan perlakuan positif ini berterusan dan berkekalan, ia masih boleh diteruskan dengan cara kaunselor membuat perancangan rapi dan meminta bantuan dari orang sekeliling klien untuk membuat pemerhatian seperti ibu bapa, guru, keluarga atau jiran klien.
Sebagai contoh, dalam persekitaran sekolah, seorang kaunselor boleh menyediakan
satu struktur token ekonomi untuk digunakan sebagai peneguhan kepada murid yang melakukan tingkah laku yang positif, dan menyenaraikan jenis-jenis hukuman sekiranya didapati berlakunya kegagalan mematuhi peraturan, atau gagal menjalani sesuatu tanggungjawab. Misalnya, bagi mengatasi gejala ponteng sekolah, kaunselor boleh mengaplikasikan sistem ini dengan memberi ganjaran token kepada murid yang hadir sepanjang minggu. Token tersebut boleh ditukar dengan kemudahan seperti dapat mengunakan perkhidmatan internet di sekolah bagi tempoh masa tertentu berdasarkan kutipan token tersebut.
Pengurusan Kendiri, Pemantauan Kendiri, dan Peneguhan Kendiri
Kaedah pengurusan kendiri, pemantauan kendiri dan peneguhan kendiri juga merupakan salah satu cara bagi mengatasi tingkah laku maladaptif. Pelaksanaan kaedah ini memerlukan klien untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan aktif dalam kaunseling. Dalam kaedah ini kaaunselor hanya sebagai mentor (fasilitator) atau pemudah cara dan bukan sebagai seorang pakar. Apa yang difikirkan oleh klien haruslah diambil kira oleh kaunselor dan diberi perhatian sewajarnya. Dalam kaedah ini juga, klien berusaha sendiri untuk mencapai perubahan yang dikehendaki. Selain dari itu, klien belajar cara bagi memberi peneguhan kendiri dan membuat interpretasi data tingkah laku yang telah mereka catatkan.
Bagi memastikan kaedah kendiri ini berjalan dengan lancar dan mencapai beberapa langkah perlaksanaannya perlu dituruti. Langkah pertama adalah mengkonsepsi dan mentakrif masalah dan memilih matlamat dalam bentuk behavioral (tingkah laku), perkara yang perlu diambil berat adalah memastikan matlamat mudah difahami dan mempunyai nilai kepada klien serta realistik dan boleh dicapai oleh klien. Matlamat atau sasaran yang hendak dicapai itu harus ditulis tarikh-tarikhnya supaya ia menjadi satu target untuk mengukur tahap pencapaian sesuatu perubahan tingkah laku secara jelas.
Langkah seterusnya adalah mengurus dan memantau tingkah laku sasaran. Pada langkah ini klien perlu mencatatkan tingkah laku dengan segera selepas ianya berlaku. Klien bebas menggunakan sebarang alat yang sesuai sebagai contoh klien boleh menggunakan pita rakaman, jam, kertas, komputer dan sebagainya. Klien perlu mengelakkan persekitaran dan situasi yang pasti akan melakukan respon yang tidak dikehendaki atau perlakuan maladatif. Klien juga perlu menjana peneguhan yang sesuai dan menentukan kesan yang bermakna serta berkesan kepada klien. Perkara terakhir yang perlu dilakukan oleh klien adalah meneruskan kejayaan dan mengira apa yang telah dicapai.
Sebagai contoh, klien yang mempunyai masalah sukar menerima kritikan orang lain dan sering diakhiri dengan pergaduhan. Kaunselor boleh menggunakan kaedah ini dengan membimbing klien untuk menghapuskan tingkah laku tersebut. Klien perlu mencatatkan setiap percakapan rakan-rakan yang membuat klien panas baran dan satu tingkah laku baru harus diberikan sebagai cadangan untuk mengelakkan pergaduhan berlaku seperti menarik nafas, beredar dari rakan tersebut atau belajar memaafkan rakan terbabit.
Penutup
Kaunseling merupakan paksi utama untuk mengharmoni dan melahirkan satu wadah ataupun wahana bagi matlamat sesuatu organisasi. Setiap kaunselor yang menjalankan kaunseling perlulah mempunyai kemahiran kemahiran asas dan ciri-ciri kaunselor seperti kemahiran melayan, kemesraan, empati, jujur, hormat, refleksi isi dan perasaan, refleksi makna, memfrasa, sepi sejenak dan konfrantasi. Semua kemahiran dan ciri kaunselor ini dapat membantu dalam kelancaran proses kaunseling dalam sesuatu organisasi.
Dalam konteks penyelesaian konflik dan mengatasi segala permasalahan klien dan masalah tingkah laku maladaptif, penggunaan pendekatan kaunseling adalah amat penting. Kaunselor yang mengendalikannya perlu melalui semua proses seperti yang dimaksudkan di atas di samping mempunyai ciri-ciri dan kemahiran-kemahiran yang diperlukan semasa menjalankan sesi kaunseling. Kaunselor perlu mengetahui teori, kaedah, pendekatan dan strategi yang perlu digunakan bagi membimbing kliennya.
Selain itu, kaunselor juga harus menerima klien dengan seadanya iaitu bersifat jujur, ikhlas dan tulen. Kaunselor juga haruslah berusaha membantu mengenalpasti cabaran mahupun halangan yang menyekat perkembangan kliennya. Kaunselor yang menggunakkan teori ini perlu memberi perhatian kepada mesej-mesej yang disampaikan melalui gerak-geri dan bahasa tubuh badan kliennya. Kaunselor turut memberi perhatian yang mendalam kepada pola-pola bahasa dan struktur ayat yang digunakan oleh klien, kaunselor dapat mengajak kliennya merasai dan mengalami apa yang dilafazkannya. Dengan cara ini, terdapat perseimbangan dan kesedaran di antara apa yang diperkatakan oleh klien dengan amalan atau perbuatan dirinya.
Justeru, sebagai seorang guru yang kadang kala memerlukan kemahiran kaunseling bagi mengendalikan pelajar bermasalah kita haruslah sentiasa bersedia dari segi ilmu pengetahuan dan tenaga. Kita juga haruslah sedar bahawa tingkah laku maladaptive merupakan tingkah laku yang dipelajari dan boleh diubah. Oleh yang demikian, guru pasti boleh merubah tingkah laku tersebut dengan kemahiran-kemahiran, strategi dan pendekatan yang telah dipelajari agar modal insan yang dibina mempunyai kualiti dari segi emosi, jasmani, sosial, rohani dan intelektual.
by : Nurulhaslin Zainol
BIBLIOGRAFI
Ahmad Majid Mohd Isa & Rahil Mahyuddin (1997). Psikologi Pendidikan 1. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn Bhd.
Amia Salleh, Zuria Mahmud, Salleh ahmad. (2006). Bimbingan dan Kaunseling Sekolah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Zainal Abidin Ahmad (OUM), & Prof. Madya Dr. Wan Abdul Kader Wan Ahmad. (Jun 2009). HBEF2203 Bimbingan dan Kaunseling Open University Malaysia. Sri Kembangan, Selangor: Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Eee Ah Meng.(1997) Perkhidmatan Bimbingan & Kaunseling. Shah Alam : Fajar Bakti Sdn Bhd.
Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim. (2003). Pelaksanaan Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah. Shah Alam : Cerdik Publication Sdn. Bhd.
Mohd Ismail bin Othman. (2006) Menangani Disiplin di Sekolah. Cheras: Utusan Publication Sdn.Bhd
Mook Soon Sang. (Jun 2008). Psikologi Pendidikan Untuk Pengajaran Pembelajaran. Ipoh, Perak: Multimedia Sdn. Bhd.
Novandri Hassan Basri. (2000). MASALAH DISIPLIN PELAJAR SATU PENDEKATAN DAN PENYELESAIAN. Reaksi : Dewan Budaya.
Siti Khairul Bariah Kamaluddin. (2000). Ganasnya Remaja Kita. Disiplin : Dakwah.
N. Z. Abidin. (1991). Masyarakat Kita Semakin Sakit. Halaman Editor: Dewan Masyarakat.
Wan Marzuki Wan Ramli. (2005). GEJALA BULI DI SEKOLAH DAN PERMASALAHANNYA. Umum : Al-Islam.
Muhammad Azman Mohd Nawi. (2005). APA BEZANYA AKHLAK DAN MORAL?. Ummah : Melenia Muslim.
Azhad, (2007). Masalah Disiplin Sekolah. [online]. Available : http://blog.azhad.com/2007/08/masalah-disiplin-sekolah.html. [2009, August 2]
Khairiatun Md Zin(2009). Tingkah Laku Bermasalah [online]. Available :
http://kplijulai08intake.blogspot.com/2009/02/tingkah-laku-bermasalah.html. [2009, August 2]
LIONG LIAN TAI. (2006). MASALAH DISIPLIN MURID DI SALAH SEBUAH SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR DI DAERAH SARIKEI. Sarekei, Sarawak : Institut Perguruan Rajang Bintagor.
bagus.. tq
ReplyDelete