Pengenalan
Sepanjang hayat, manusia akan mengalami pertumbuhan dan perkembangan. Perubahan pertumbuhan dan perkembangan manusia terbahagi kepada dua iaitu secara kualitatif dan kuantitatif. Pertumbuhan ialah satu proses perubahan yang bersifat kuantitatif. Ia melibatkan perubahan dari segi saiz dan struktur iaitu aspek fizikal serta mental dan akan mencapai puncaknya sebaik sahaja seseorang individu itu mencapai kematangan. Menurut Karl E. Garrison, pertumbuhan merupakan perkembangan seseorang individu dalam bentuk saiz badan, iaitu perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar. Atan Long pula mentakrifkan pertumbuhan sebagai perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain dari semasa ke semasa.
Perkembangan ialah perubahan yang bersifat kualitatif. Sifat perubahan perkembangan ini tidak dapat diukur tetapi dapat diperhatikan jika dibandingkan dengan peringkat perkembangan yang lebih awal. Menurut Crow and Crow perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial.
Karl E. Garrison pula berpendapat bahawa perkembangan terhasil daripada tindakan yang saling berkait antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Paul Eggan dan Don Kauchak berpendapat perkembangan adalah perubahan yang berurutan dan kekal dalam diri seseorang hasil daripada pembelajaran, pengalaman dan kematangan.
Slavin (1997) pula berpendapat perkembangan adalah berkaitan dengan mengapa dan bagaimana individu berkembang dan membesar, menyesuaikan diri kepada persekitaran dan berubah melalui peredaran masa. Beliau berpendapat, individu akan mengalami perkembangan sepanjang hayat, iaitu perkembangan dari segi fizikal, personaliti, sosioemosional dan kognitif serta bahasa.
Secara keseluruhannya bolehlah dikatakan bahawa perkembangan ialah aspek perubahan yang dialami individu yang bersifat kualitatif, tidak dapat diukur tetapi jelas kelihatan berubah melalui peredaran masa. Perkembangan berlaku daripada peringkat permulaan percambahan sel sehingga akhir hayat organism.
Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia. Faktor yang mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan manusia dapat dikategorikan kepada dua unsur iaitu faktor endogen dan eksogen. Faktor atau sifat endogen merupakan sifat yang dibawa oleh individu sejak dalam kandungan hingga kelahiran. Faktor eksogen pula merupakan faktor yang datang dari luar individu atau lebih dikenali sebagai persekitaran. Pertumbuhan dan perkembangan manusia terdiri daripada aspek jasmani, mental, sosial dan emosi. Terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan manusia iaitu faktor baka dan persekitaran.
Baka
Baka adalah ciri-ciri yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada zuriatnya melalui gen, kromosom, kelenjar dan hormon. Derville (1979) mentakrifkan baka sebagai pewarisan biologi keseluruhan ciri mental dan fizikal daripada ibu bapa kepada anak. Ernest R. Hilgard (1956) pula berpendapat bahawa baka adalah segala ciri biologi yang diperturunkan daripada ibu bapa kepada anak melalui gen.
Norman L. Munn mengatakan, baka merupakan ciri yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anak melalui gen-gen. W.E. Vinacke pula menyifatkan baka sebagai penentu struktur-struktur organ, arah sistem biologi yang akan berkembang serta potensi-potensi seseorang individu. Amram Schienfeld mengatakan bahawa baka itu menentukan persamaan-persamaan di antara ibu bapa dengan anak-anaknya dan di kalangan ahli-ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi trait-trait seperti kebolehan, minat dan kawalan emosi. Menurut J.A. Thomson, baka itu merujuk kepada perhubungan genetik di antara generasi manusia. Berdasarkan pendapat tokoh di atas dapat disimpulkan bahawa baka adalah ciri mental dan fizikal yang dapat diperturunkan oleh generasi kepada generasi yang lain.
Persekitaran
Persekitaran adalah keadaan yang berada di sekeliling termasuk keadaan fizikal, iklim, sosiobudaya, politik dan interaksi diantara manusia sesama manusia dan alam sekitarnya. Menurut W. Edgar Vinacke (1969) persekitaran adalah segala kuasa kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku individu. Amram Schienfeld menyatakan persekitaran merujuk kepada luaran seseorang individu dan faktor bakanya bermula daripada peringkat persenyawaan. Norma L. Munn pula mendefinisikan persekitaran sebagai segala benda yang terdapat di sekeliling unit-unit kebakaan. Berdasarkan definisi di atas dapat dikatakan bahawa persekitaran adalah segala apa yang terdapat disekeliling individu yang mampu mempengaruhi seseorang individu.
Pertumbuhan Manusia
Pertumbuhan manusia melibatkan beberapa ciri yang dapat dilihat dengan jelas serta diukur melalui peredaran masa dan bersifat kuantitatif. Kadar pertumbuhan di antara individu dengan individu yang lain adalah berbeza. Tubuh badan dan anggota yang berlainan juga mengalami pertumbuhan yang berbeza. Perubahan pertumbuhan manusia berlaku secara berperingkat dan mempunyai corak pertumbuhan yang unik di antara individu yang berbeza. Pertumbuhan manusia ini juga bergantung kepada baka individu tersebut. Sebagai contoh, jika individu tersebut mewarisi ketinggian yang rendah namun mengamalkan corak pemakanan yang penuh bernutrisi tidak akan dapat menaikkan ketinggian individu tersebut. Proses pertumbuhan akan mencapai kemuncak ketika seseorang mencapai kematangannya.
Perkembangan Manusia
Perkembangan manusia merupakan satu proses perubahan yang berlaku akibat tindakan yang saling berkaitan antara perkembangan jasmani dengan pembelajaran. Perubahan dari aspek jasmani, emosi, mental dan sosial melibatkan perubahan yang bersifat kualitatif. Proses perkembangan individu akan berterusan sehingga ke akhir hayat. Ia melibatkan perubahan tingkah laku dalam keadaan berterusan dan menerusi peringkat perkembangan kematangan tertentu.
Pengaruh Baka Terhadap Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia
Faktor kebakaan ditentukan oleh kromosom, gen, kelenjar dan hormon. Hasil penyatuan dua induk melalui proses percantuman sperma dan ovum dapat melahirkan zuriat yang mempunyai keserasian atau kesamaan dengan induk tersebut. Baka ataupun genetik dapat mempengaruhi perkembangan manusia dari aspek fizikal. Sebagai contoh, gen atau bahan baka dalam kromosom mengawal bagaimana organisma berfungsi dan rupa bentuknya. Sebagai contoh, gen menentukan sifat fizikal individu seperti warna mata, kulit dan rambut, rupa bentuk badan dan pertumbuhan tisu. Gen membawa maklumat baka supaya ciri-ciri warisan ibu bapa dapat diturunkan dari generasi induk ke generasi berikutnya.
Selain daripada aspek fizikal, baka juga mempengaruhi ciri fisiologi individu. Sebagai contoh, jika anak tersebut datang dari baka yang sihat maka, anak tersebut akan menjadi individu yang sihat. Sebagai contoh jika susur galur baka ibu bapa mempunyai penyakit kekerdilan dan diabetis kemungkinan anak yang dilahirkan juga akan mengalami masalah tersebut. Kajian menunjukkan bahawa ciri-ciri fizikal luaran, khasnya warna rambut dan organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen ibu bapa.
Renjatan mental juga dipengaruhi oleh gen induk. Sebagai contoh, jika kedua-dua induk mempunyai gen yang resesif maka, kemungkinan anak yang akan dilahirkan akan mengalami masalah kecacatan mental. Kajian ahli psikologu Galton (1865), Goddard (1890), Newmen (1937) dan Shieldo (1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan intelek yang berbeza dengan rakan sebaya. Ahli-ahli psikologi sering mengaitkan kecerdasar anak dengan kedua ibu bapa mereka. Biasanya ibu bapa yang cerdas dan pintar melahirkan anak yang juga cerdas dan pintar.
Pembentukan sahsiah anak juga turut dipengaruhi oleh baka induk. Sebagai contoh anak akan dipengaruhi oleh perangai dan sifat ekstrovert atau introvert yang terdapat pada baka ibu bapanya. Sifat pemarah dan bimbang juga dapat diwarisi oleh kedua ibu bapa. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik.
Kecerdasan anak juga dipengaruhi oleh baka. Sebagai contoh, jika kedua ibu bapa merupakan pelukis, anak juga akan mewarisi kecerdasan tersebut. ini bermakna bakat dan kebolehan individu itu dipengaruhi oleh baka yang diwarisi mereka.
Pengaruh baka ke atas pertumbuhan dan perkembangan dapat dilihat dari aspek fizikal seperti warna kulit, warna mata, ketinggian dan lain-lain. Dari segi fisiologi pula baka mempengaruhi kesihatan individu seperti penyakit keturunan seperti diabetis dan kekerdilan. Pengaruh baka dari aspek sahsiah boleh dilihat dari sikap individu sama ada ekstrovert atau introvert dan akhir sekali kecerdasan seseorang seperti kebolehan berlari pecut, menembak dan melukis. Namun demikian, faktor baka hanyalah menentukan perkembangan manusia, faktor persekitaran menolong memperkembangkan pencapaian had yang maksimum kepada individu. Jelas di sini menunjukkan bahawa faktor persekitaran memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan dan perkembangan individu.
Pengaruh Persekitaran Terhadap Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia
Pengaruh persekitaran memainkan peranan yang amat penting kepada perkembangan individu. Persekitaran yang kondusif mampu melahirkan individu yang berpotensi dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Terdapat pelbagai aspek persekitaran yang dapat mempengaruhi individu dari segi pertumbuhan dan perkembangannya.
Faktor persekitaran dapat mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan mental, fizikal, emosi dan sosial. Kesan persekitaran juga boleh dikategorikan kepada dua iaitu semasa pralahir dan selepas lahir. Semasa pralahir faktor pemakanan ibu, kesihatan ibu, penyalahgunaan dadah. Faktor Rh, kesan X-Ray, emosi ibu dan usia ibu dapat mempengaruhi perkembangan bayi. Selepas kelahiran pula faktor pemakanan, keluarga, rakan sebaya, sekolah, tempat tinggal, sebaran am, pusat ibadat dan persekitaran dunia mampu mempengaruhi perkembangan manusia.
Lowell (1941) melaporkan seorang kanak-kanak Amerika berumur 5 tahun bernama Danny tidak mencapai kebolehan mental ke peringkat purata semasa ia dijaga oleh datuk dan neneknya. Kedua-dua orang tua itu tidak membenarkan Danny bersoal untuk memuaskan naluri ingin tahu dan kegiatannya sangat terkurung. Apabila Danny berpindah dengan ibunya ke tempat lain dan mula menerima perhatian, kasih sayang dan galakan, prestasinya semakin bertambah dan mencapai kecerdasan jauh lebih tinggi daripada purata pada umur dua belas tahun. Montagu (1959) berpendapat gen sahaja tidak dapat bertindak untuk menghasilkan kesan di dalam keadaan atau persekitaran yang kosong. Beliau percaya apa yang boleh kita lakukan ke atas sesuatu organisma terhad kepada apa yang ditetapkan oleh gen, tetapi persekitaranlah yang menentukan sejauh mana lingkungan had itu perkembangan dapat dicapai.
Institusi keluarga sangat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia. Unsur-unsur seperti suasana tempat tinggal, pemakanan, asuhan dan didikan, status sosio-ekonomi keluarga, bangsa dan pendidikan ibu bapa adalah antara faktor yang dapat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan anak. Sebagai contoh, satu kajian telah dilakukan oleh Sharifah Md. Nor daripada Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Pertanian Malaysia berkaitan dengan Latar Belakang Yang Berkaitan Dengan Pencapaian Murid Tahun Satu. Hasil kajian beliau didapati bahawa bangsa Cina mempunyai prestasi akedemik yang lebih tinggi daripada bangsa Melayu dan bangsa India mempunyai prestasi akedemik yang lebih rendah berbanding bangsa Melayu. Setelah menjalankan soal-selidik didapati bahawa sosio-ekonomi bangsa Cina lebih tinggi berbanding Melayu diikuti oleh India. Ini jelas menunjukkan bahawa status sosio-ekonomi keluarga mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.
Selain dari itu, satu kajian juga telah dijalankan oleh Siti Nor Yaacob dan Anita Abdul Rahman dari Jabatan Pengajian Pembangunan Keluarga, Universiti Pertanian Malaysia. Beliau telah mengkaji Depresi dan Pencapaian Akademik Pelajar Dari Keluarga Berbeza Struktur. Hasil dapatan beliau, didapati bahawa remaja yang dibesarkan di dalam keluarga dua induk mempunyai prestasi akademik yang lebih baik daripada remaja yang dibesarkan dengan ibu bapa tunggal. Mereka juga cenderung untuk mempunyai masalah tingkah laku. Ini membuktikan bahawa pengaruh keluarga juga penting bagi perkembangan manusia.
Corak Keibubapaan juga mempengaruhi perkembangan manusia. Diana Baumrind (1967;1971) menegaskan bahawa terdapat perkaitan yang rapat diantara cara gaya ibu bapa membimbing anak mereka dengan perkembangan sosial dan konsep kendiri kanak-kanak. Mengikut Baumrind terdapat tiga jenis cara gaya didikan ibu bapa iaitu authoritarian, permisif dan autoritatif. Dengan mengamalkan gaya didikan yang berbeza, manusia akan berkembang dengan tahap yang berbeza.
Sebagai contoh, ibu bapa yang membesarkan anak dengan gaya authoritarian iaitu mengenakan kawalan yang ketat kepada tingkah laku anak dengan membuat pelbagai peraturan dan tidak membenarkan anak mempersoalkannya. Ibu bapa ini juga tidak mengamalkan sikap bertolak ansur terhadap anak dan percaya bahawa kanak-kanak harus mematuhi arahan dan peraturan yang dikenakan. Impak gaya pembesaran ini akan menjadikan perkembangan anak tersekat dan akan mengganggu anak dari aspek perkembangan emosi dan psikomotor. Anak akan cenderung untuk bersendirian (pasif), kurang keyakinan diri (takut), merasa rendah diri atau bermasalah tingkah seperti agresif apabila berada di luar kawalan ibu bapa. Sebaliknya jika ibu bapa menggunakan gaya pembesaran dengan lebih demokratik akan menjadikan anak-anak lebih berkeyakinan diri dan lebih berfikiran terbuka, Oleh itu, cara gaya pembesaran anak-anak juga akan menentukan sikap dan perkembangan manusia.
Berikut merupakan beberapa hasil dapatan daripada kajian Liong Lian Tai mengenai pengaruh ibu bapa terhadap perkembangan sosial, emosi dan rohani anak-anak:
Masalah disiplin yang timbul mempunyai perkaitan yang rapat dengan cara didikan dan asuhan di rumah. Sikap ibu bapa berupa penekanan dapat mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dari segi sahsiah dan aspirasinya (Stodgil, 1970: 27)
Selain itu, setiap ibu bapa adalah lebih penting daripada taraf sosioekonomi. (W. C Miller 1971: 102)
Di samping itu, sikap ibu bapa yang membantah keras langkah kementerian mengetatkan disiplin murid, sedikit sebanyak mendorong ke arah kemerosotan disiplin murid. (Utusan Malaysia, 1987)
Murid-murid yang datang daripada keluarga yang bermasalah, di mana mereka tidak mendapat kasih sayang dan perhatian ibu bapa yang cukup, menambah kepada masalah tatatertib di sekolah-sekolah. (A. Rajaguru, Mohd Daud Saad & Ibrahim Saad, 1982: 260)
Kecelaruan dalam keluarga & kurang perhatian ibu bapa adalah punca kuat yang mempengaruhi jiwa remaja. Kajian Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati kerenggangan hubungan kekeluargaan menjadi punca utama remaja terjebak ke kancah maksiat. (Berita Harian. 10.11.93, 23)
Kajian yang dibuat oleh Universiti Chicago (Czikszentmihalyi, 1987) mendapati purata masa yang dikongsi oleh remaja dan ibu bapa yang bekerja hanya 12 jam seminggu. Ini mengakibatkan kekurangan masa bagi ibu bapa untuk mengasuh, mendidik dan membimbing anak mereka.
Faktor pemakanan juga merupakan salah satu daripada aspek yang dapat mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan manusia. Pemakanan adalah amat penting untuk perkembangan dan pertumbuhan jasmani dan mental yang sihat. Makanan yang berzat dan seimbang adalah amat diperlukan untuk membantuk perkembangan dan pertumbuhan dan dapat melindungi seseorang individu daripada serangan penyakit. Walaupun ketinggian dan saiz badan ditentukan oleh faktor baka, namun pemakanan memainkan peranan yang penting untuk mengoptimumkan pertumbuhannya. Semaksimum manakah ketinggian seseorang itu akan dipengaruhi oleh pemakanan yang seimbang. Sebagai contoh, baka akan menentukan saiz badan, namun pemakanan yang berlebihan atau tidak seimbang akan menyebabkan pertumbuhan yang keterlaluan (kegemukan) atau terbantut (kurang zat makanan).
Pengaruh persekitaran juga boleh dipengaruhi oleh pengalaman di sekolah. Kedudukan sekolah samada berada di kawasan bandar, luar bandar dan pinggir bandar juga mempengaruhi perkembangan mental sosial dan jasmani seseorang individu. Faktor kemudahan prasarana, saiz sekolah, didikan dan asuhan guru , serta rakan-rakan di sekolah juga mempengaruhi perkembangan individu. Sebagai contoh, jika sekolah tersebut diterajui oleh Guru Besar yang amat perihatin mengenai pencapaian akedemik muridnya, pelbagai aktiviti bersifat akademik akan dilaksanakan. Dengan adanya program-program pengayaan dan pemulihan ia dapat membantu murid dalam meningkatkan lagi pencapaian akademik semaksimum yang mungkin. Dengan cara ini, murid-murid lebih berpotensi untuk mendapat prestasi akademik yang baik dari sebelumnya. Kemudahan di sekolah yang disediakan dengan baik juga dapat memberikan impak kepada perkembangan murid. Sebagai contoh, sekolah yang menyediakan kemudahan yang lengkap bagi kemudahan murid-murid pendidikan khas mampu mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi mereka. Berikut ialah petikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia(1988) mengenai perkara ini.
“ Hari ini sekolah-sekolah menampung murid-murid yang lebih tidak seragam, iaitu dari segi sosial, ekonomi dan nilai budayanya kerana peluang-peluang bagi mendapatkan pelajaran adalah terbuka kepada semua murid. Selain daripada itu, faktor sekolah juga dikatakan sebagai salah satu sebab yang mempengaruhi disiplin murid. Di antaranya ialah struktur dan organisasi sekolah; sistem hukuman dan penghargaan kepada murid; suasana nilai dan interaksi dalam sekolah; budaya sekolah yang lebih berorientasi akademik; dan sikap; tanggapan serta harapan para Guru”. (KPM 1988 pp25-26: MASALAH DISIPLIN MURID DI SALAH SEBUAH SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR DI DAERAH SARIKEI)
Selain dari itu faktor tempat tinggal juga memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan manusia. Anak-anak yang membesar di kawasan bandar lebih bersifat individualistik kerana persekitaran mereka tidak mementingkan hubungan yang mesra diantara jiran tetangga. Mereka juga lebih berpengetahuan dari segi multimedia kerana didedahkan dengan pelbagai kemudahan seperti internet dan suasana belajar di rumah yang lebih selesa. Ini berbeza dengan anak-anak yang membesar di kawasan kampung atau setinggan. Jika kanak-kanak membesar di kawasan kampung mereka akan lebih bertimbang rasa, tolong menolong dan berkerjasama kerana persekitaran mereka lebih bersifat sosial dan saling bantu-membantu diantara satu sama lain. Anak-anak yang membesar di kawasan setinggan pula cenderung untuk bersifat lebih kasar dan agresif kerana kebiasaannya persekitaran hidup mereka lebih bebas kerana kesibukan ibu bapa yang bekerja. Corak pergaulan mereka juga dapat mempengaruhi pembentukan tret personality mereka.
Pengaruh media juga amat penting bagi pertumbuhan dan perkembangan manusia. Media seringkali memberikan pelbagai infomasi mengenai segala aspek di dunia ini. Ibu bapa yang terdedah dengan informasi mengenai kesihatan, kehidupan dan budaya akan mementingkan dan mengutamakan faktor pemakanan, dan pendidikan anak-anak. Sebagai contoh ibu bapa yang berpendidikan tinggi sering menggunakan media seperti majalah, bahan bacaan ilmiah dan internet sebagai sumber rujuk bagi pemakanan dan pendidikan anak secara sihat. Ini dapat membantu anak-anak dalam mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang paling baik. Bebeza pula dengan ibu bapa yang kurang mengambil berat tentang faktor ini. Gaya kehidupan yang kurang sihat dari segi pemakanan, pendidikan akan membantutkan pertumbuhan dan perkembangan anak-anak.
Media juga mampu memberikan pengaruh perkembangan yang kurang baik. Sebagai contoh, anak-anak yang terdedah dengan bahan media yang kurang sihat seperti cerita dan permainan video yang ganas akan mempengaruhi pembentukan sahsiah dan sosial yang kurang baik seperti agresif dan mementingkan diri sendiri. Pusat ibadat juga merupakan salah satu daripada faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia. Sebagai contoh, anak-anak yang tinggal berhampiran dengan pusat beribadat dan sering mengunjungi pusat ibadat mampu membentuk sahsiah dan perkembangan jasmani dan rohani yang lebih positif.
Kesimpulan
Pertumbuhan dan perkembangan manusia sering mendapat tempat dan menjadi fokus yang sangat dititikberatkan di bidang kajian psikologi perkembangan manusia. Tarikan ini didorong oleh keunikan konflik yang wujud di dalam proses pertumbuhan dan perkembangan manusia semasa melalui proses transformasi antara alam kanak-kanak menuju alam kedewasaan. Persoalan mengenai faktor baka atau yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia sering menjadi bahan perdebatan dan kajian. Setelah meneliti dan membuat pembacaan, di antara baka atau persekitaran, didapati kedua-dua faktor ini memberi kesan terhadap pertumbuhan dan perkembangan manusia. Baka dan persekitaran menyumbang ke arah pertumbuhan dan perkembangan pada tahap yang maksimum. Namun aspek manakah yang lebih mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia?
Pertumbuhan dan perkembangan dapat dilihat di dalam empat aspek iaitu aspek jasmani, mental, sosial dan emosi. Sebagai contoh bagi proses pertumbuhan manusia ianya lebih bersifat kuantitatif, dari aspek jasmani pertumbuhan manusia dapat dilihat dan diukur dari sudut ketinggian, saiz, berat badan dan bilangan gigi manakala, proses perkembangan pula lebih bersifat kualitatif atau tidak dapat diukur dengan tepat namun dapat diperhatikan. Sebagai contoh, dalam aspek jasmani, proses perkembangan dapat dilihat dengan pertambahan kemahiran menggunakan anggota seperti mengangkat, berjalan, berlari dan melompat.
Jika dilihat dari aspek ilmu biologi iaitu faktor genetik atau baka. Melalui keturunan, sifat-sifat, ciri atau perwatakan seseorang individu itu sedikit sebanyak pasti diwarisi dalam susur jalur waris genetiknya. Seperti sifat panas baran, sawan atau gila yang disebabkan oleh ganguan jiwa kesan dari bawaan genetic DNA keturunan. Namun, pengaruh faktor baka ini tidaklah sesuatu yang kritikal dan hanya dianggap sebagai faktor-faktor terpencil dalam psikologi perubatan moden ia kini mampu dikawal atas kemodenan tamadun manusia.
Dalam konteks pertumbuhan dan perkembangan sosial pula, ciri-ciri kebakaan seperti ekstrovert, introvert dan ambivert dapat diwarisi. Namun, persekitaran dapat mengubah ciri-ciri tret individu tersebut. Walaupun individu itu mempunyai ciri-ciri ekstrovert di rumah tetapi tidak didedahkan dengan suasana sosial di luar, dia tidak dapat menzahirkan ciri-ciri semulajadi tersebut apabila berada di dalam masyarakat dan berkemungkinan sukar untuk berkomunikasi dengan orang lain. Faktor media, rakan sebaya dan masyarakat sekeliling amat mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan manusia.
Pertumbuhan dan perkembangan mental individu dipengaruhi oleh faktor baka dan genetik. Keturunan yang cerdik pandai akan melahirkan anak yang mempunyai kecerdasan yang tinggi. Namun demikian, jika anak tersebut tidak diberi pendidikan dan pendedahan yang baik kecerdasan tersebut tidak dapat berkembang dengan baik. Justeru bagi membina insan yang mempunyai kemahiran intelek yang tinggi persekitaran memainkan peranan yang penting. Ini termasuklah cara didikan ibu bapa, pembelajaran yang diberi kepada anak seperti persekolahan amat membantu ke arah meningkatkan intelek seseorang individu.
Pertumbuhan jasmani manusia seperti ketinggian dan saiz badan dipengaruhi oleh baka iaitu diwarisi. Namun, corak pemakanan amat mempengaruhi proses perkembangan dan pertumbuhan manusia. Makanan yang bernutrisi mampu membantu manusia mencapai tahap maksimum pertumbuhan tersebut.
Dalam konteks emosi pula, ia lebih dipengaruhi oleh persekitaran. Walaupun ia dapat diturunkan oleh induk, persekitaran mampu mencorak perkembangan emosi manusia. Individu yang diberi pendedahan dengan keagamaan, serta tatasusila masyarakat lebih bijak mengawal emosi mereka. Perasaan marah, panas baran dapat dikawal oleh individu jika mereka dipupuk dengan nilai-nilai murni di dalam kehidupan seharian. Corak didikan ibu bapa juga mempengaruhi perkembangan emosi individu.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa perkembangan dan pertumbuhan manusia dipengaruhi oleh baka dan persekitaran yang bertindak serta berinteraksi bersama-sama untuk mencapai had maksimum pertumbuhan dan perkembangan manusia. Namun, era globalisasi hari ini memang tidak dapat dinafikan bahawa faktor persekitaran mempengaruhi dalam perjalanan kehidupan individu, dan memberi impak terbesar dalam pewatakan individu serta merupakan pengaruh terbesar masa kini kepada pertumbuhan dan perkembangan individu terutama yang sedang meningkat dewasa.
by: Nurulhaslin Zainol
BIBLIOGRAFI
Ee Ah Meng. (1997). Psikologi Dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ea Ah Meng. (1993). Psikologi Perkembangan: Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Habibab Alias, Rahil Hj Mahyuddin. Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan. (2002). Shah Alam : Karisma Publication.
Lee Shok Mee. (1994) Asas Pendidikan 2 Psikologi Dalam Bilik Darjah. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mohd Amin H. A. Shariff. (1998). Perkembangan Kanak-kanak. Dewane. Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. (2000). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Murugiah Velayutaham. (1997). Psikologi Pendidikan 1 Psikologi Perkembangan. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Rohani Abdullah. (2001). Perkembangan Kanak-kanak Penilaian Serta Portfolio. Serdang : Universiti Putra Malaysia.
Tang Chee Yee. (1995). Asas Pendidikan 4 Sekolah dan Perkembangan Kanak-kanak. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Liong Lian Tai. (2006). MASALAH DISIPLIN MURID DI SALAH SEBUAH SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR DI DAERAH SARIKEI. Sarekei, Sarawak : Institut Perguruan Rajang Bintagor.
Dr. Rahil Hj Mahyuddin, Dr Abd Majid Mohd Isa, Dr. Zaidatol Akmaliah Lopi Pilie. (1995) Malaysia : Logman
Mohammed Haji Yusuf, Lee Tuan New. (1989). Jurnal Pendidikan 13 & 14 pg. 37 – 50. Kesan Sekitaran ke atasnPemangkatan Nilai Para Pelajar: Satu Kajian Perbandingan.
Siti Nor Yaacob, Anita Abdul Rahman. (1997). Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jilid 15. Depresi dan Pencapaian Akademik Remaja Dari Keluarga Berbeza Struktur. Universiti Pertanian Malaysia.
Sharifah Md Nor. (1992). Jurnal Pendidik dan Pendidikan. Faktor-faktor Latar Belakang Yang Berkaitan Dengan Pencapaian Akademik Murid Darjah Satu. Universiti Pertanian Malaysia.
Rozumah Baharudin, Nazli@Nazlina Maliki.( 1999). Jurnal Pendidik dan Pendidik, Jilid 16. Kebapaan Dan Pencapaian Akademik Kanak-kanak Bandar dan Luar Bandar. Universiti Pertanian Malaysia.
Ab. Halim Tamurizuria, Mahmud Safani Bari. (2005). Jurnal Pendidikan 30 pg 21-33. Permasalahan Pelajar-pelajar Fakir Miskin di Daerah Sabak Bernam.
Hamidah Sulaiman. (2005). Pendidikan Islam dan Pengaruh Persekitaran dan Kemajuan : Kesan Kepada Pembentukan Sahsiah. Universiti Melaya.
maklumat diatas byk membantu dlm tugasan sy. thanks cikgu.
ReplyDeletetq...
ReplyDeleteterima kasih yer.... maklumat yg disediakan byk membantu saya dlm menyiapkan tugasan...
ReplyDeleteMaklumat yang sangat membantu. Terima kasih.
ReplyDelete