Monday, March 29, 2010

PENCEMARAN

2.1 PENGENALAN

Dalam era pemodenan sesebuah negara serta pembangunan yang pesat dan pantas dalam pembangunan pelbagai sektor demi peningkatan ekonomi negara, pelbagai kegiatan seperti pembangunan infrastruktur, perindustrian, perkilangan dan pertanian telah menjadi agenda negara. Pembangunan yang pesat dalam kepelbagaian sektor ini telah mendatangkan impak terhadap alam sekitar, kesihatan dan menyebabkan bumi kian tua dan terjejas.

Seringkali kita lihat dan saksikan di televisyen, di dada-dada akhbar juga di sekeliling kita sesuatu pencemaran berlaku dan mendatangkan kemudaratan terhadap alam semulajadi dan benda-benda hidup. Di era serba moden ini kita tidak dapat lari daripada menjadi mangsa arus perubahan yang pesat sehingga kita lalai dan mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar. Pencemaran merupakan satu topik yang hangat dan tidak di ambil tindakan secara serius dari dahulu lagi. Buktinya, terdapat pelbagai kesan negatif yang terjadi kepada alam sekitar yang dahulunya bersih daripada segala pencemaran atau sesuatu yang mengganggu ekosistem manusia dan hidupan yang lain.

2.2 DEFINISI PENCEMARAN

Pencemaran boleh didefinisikan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan. Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain, tumbuhan dan haiwan. Pencemaran alam sekitar boleh dikategorikan kepada empat jenis utama iaitu pencemaran udara pencemaran air, pencemaran tanah dan pencemaran bunyi

2.3 PUNCA-PUNCA DAN KESAN PENCEMARAN

2.3.1 PENCEMARAN AIR

Pencemaran air bermaksud perubahan yang berlaku dari segi kandungan keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan akan memberi kesan terhadap manusia apabila digunakan. Pencemaran ini berlaku sama ada dari segi biologi kimia atau fizik. Bahan pencemaran boleh didapati dalam pelbagai bentuk iaitu gas cecair dan pepejal. Pencemaran air boleh berlaku di mana-mana sahaja tempat yang berair. Oleh itu, pencemaran air merupakan pencemaran yang begitu meluas kerana satu pertiga bumi kita merupakan sungai dan laut.

Antara punca-punca pencemaran air ialah:
1. Sisa bahan buangan kilang seperti sisa toksik yang dibuang ke dalam sungai.
2. Pembuangan bahan-bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis.
3. Penerokaan hutan secara besar-besaran yang mengakibatkan tanah runtuh. Tanah tersebut akan masuk ke dalam sungai menjadi mendakan dan ia mencetekkan lagi paras air sungai. Di tahap ini, kemungkinan banjir boleh berlaku.

Pencemaran air juga membawa kesan yang memudaratkan kepada hidupan dan tanaman di dalam air tersebut. Kesan-kesan daripada pencemaran air ini menimbulkan banyak masalah terhadap hidupan-hidupan di dunia pada masa kini termasuklah manusia sendiri. Bahan-bahan yang dibuang dalam sungai akan mengurangkan kandungan oksigen dalam air. Tanaman dan hidupan akan mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manakala manusia akan mendapat penyakit yang serius jika mengambil sumber makanan daripada hidupan di dalam air yang telah tercemar. Manusia juga boleh mendapat penyakit atau masalah kesihatan yang teruk jika meminum atau menggunakan air tercemar.

Penggunaan air laut juga terutamanya sebagai agen penyejuk bagi mesin dalam sektor janakuasa elektrik merosakkan kualiti air. Air yang panas selepas digunakan untuk menyejukkan mesin-mesin dalam sektor ini akan disalurkan semula ke laut. Ini menyebabkan seluruh kawasan saliran laut itu akan menjadi panas dan mengakibatkan hidupan di kawasan itu sukar untuk beradaptasi kerana keadaan suhu airnya yang tinggi dan meningkat secara mendadak justeru mengganggu ekosistem hidupan di laut secara perlahan-lahan.

Seterusnya, pencemaran air akan membawa kepada pemandangan yang kurang elok dan menjengkelkan. Dunia sudah hilang keindahannya lalu menjadikan sektor pelancongan negara merosot dengan kurangnya pelancong yang datang mengunjungi negara ini. Bau busuk dari sungai atau laut yang tercemar menjadikan manusia kurang selesa dan ini memudaratkan kehidupan manusia dalam jangka masa panjang.
Selain itu pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir. Banjir-banjir yang kerap berlaku disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut ataupun sungai. Apabila sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut, banjir mudah berlaku dan menyebabkan persekitaran kotor apabila banjir tersebut berlaku. Kesan langsung daripadanya adalah kemusnahan tapak pembiakan rantai makanan, dan juga mempengaruhi pembuatan makanan, produktiviti makanan, dan kosnya yang meningkat.

2.3.2 PENCEMARAN UDARA

Pencemaran udara boleh ditafsirkan sebagai kehadiran satu atau lebih substansi fizik, kimia, atau biologi di atmosfera dalam jumlah yang dapat membahayakan kesihatan mahkluk hidup, mengganggu estetika dan keselesaan. Perkembangan ekonomi Malaysia bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik, kimia dan juga getah. Namun kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan pada pelepasan pencemaran gas organik dan bukan organik, bahan kimia dan juga habuk. Pelbagai jenis industri menghasilkan bahan cemar yang berbeza. Contohnya industri kimia menghasilkan bahan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur, manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Industri logam pula bertanggungjawab mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik. Sesetengah bahan pencemar, terutamanya karbon dioksida adalah merupakan gas rumah hijau yang amat memudaratkan dan boleh mengakibatkan perubahan iklim seluruh dunia.

Manusia kini amat bergantung kepada pengangkutan atau kenderaan bermotor seperti kereta, lori dan keretapi. Setiap pergerakan kenderaan motor menggunakan tenaga yang banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api fosil, yang menghasilkan asap yang membawa kesan buruk kepada keadaan setempat. Kualiti udara persekitaran amat bergantung kepada jenis sistem pengangkutan yang digunakan, jenis sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan juga jumlah tenaga yang diperlukan. Di dalam sektor pengangkutan, kenderaan bermotor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara.

Hampir kesemua tenaga elektrik dihasilkan dengan membakar bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Loji-loji janakuasa jenis ini mempunyai tahap kecekepan antara 35 dan 40 peratus di mana tenaga selebihnya bertukar menjadi haba. Pada masa ini, Malaysia menjana 86 peratus keperluan tenaga elektriknya melalui loji janakuasa konvensional manakala baki 14 peratus dihasilkan oleh stesen janakuasa hidro.
Isi rumah menyumbang kepada pencemaran melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan Klorofluorokarban (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga adalah punca pencemaran udara.

Pembakaran pokok tua di kawasan ladang untuk tujuan penanaman semula banyak menghasilkan partikel jelaga. Partikel jelaga ini boleh diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin dan inilah punca jerebu yang kerap menyelubungi ruang udara Malaysia. Api dari pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap yang mencemarkan tetapi ia juga memusnahkan segala benda hidup di sekitarnya.


3.1.1 PENCEMARAN TANAH


Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya pertukaran warna, kesuburan dan hakisan. Ianya disebabkan oleh bahan buangan dalam bentuk cecair atau pepejal. Bahan pencemar ini terdiri daripada pencemar organik, kimia atau fizik. Keseriusan pencemaran tanah bergantung kepada kesuburan tanah. Pencemaran menunjukkan tahap serius apabila kesuburan tanah sudah hilang dan akan bertukar warna menjadi kehitaman serta tumbuh-tumbuhan di kawasan tersebut menjadi layu.

Kebanyakan tanah yang merosot kualitinya adalah disebabkan oleh aktiviti manusia sendiri. Aktiviti-aktiviti seperti perlombongan, tebus guna tanah yang mengorbankan kawasan terumbu karang, penebangan hutan yang menyebabkan aliran tanah dari darat masuk ke dalam laut, pembuangan sampah sarap dan kumbahan yang tidak terkawal, pembuangan sisa toksik dan sisa nuklear, dan tumpahan minyak menyebabkan tanah tercemar.

Antara punca-punca berlakunya pencemaran ini ialah:
1- Pembuangan bahan-bahan buangan daripada kilang seperti minyak dan sisa-sisa kilang.
2- Pembuangan sampah merata-rata juga merupakan penyumbang ke arah pencemaran ini.
3- Penggunaan racun serangga secara berlebihan juga boleh menjadi punca pencemaran tanah.

Pencemaran tanah akan menyebabkan tanah tersebut tidak subur dan rosak kualitinya. Tanaman yang ditanam di kawasan tersebut akan menjadi rosak dan tidak subur. Hujan asid yang meresap ke dalam tanah, perlombingan yang berlebihan, penebangan hutan atau pembalakan menyebabkan tanah terhakis dan rosak. Selain itu penggunaan racun serangga atau rumpai turut berperanan mengurangkan kualiti tanah. Kemajuan dari segi pengangkutan juga menyebabkan banyak kawasan tanah telah digunakan untuk tujuan pembinaan jalanraya, landasan keretapi dan lapangan terbang.

Pencemaran tanah juga mengakibatkan hidupan seperti haiwan yang tinggal di dalam tanah terbunuh. Racun yang disembur ke permukaan tanah akan meresap masuk ke dalam tanah dan membunuh hidupan yang ada di bawah tanah.

Satu lagi kesan pencemaran tanah ini adalah hakisan. Hakisan tanah adalah salah satu fenomena yang sangat sering berlaku di seluruh dunia. Ianya bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan dan ekonomi bahkan juga mengancam keselamatan dan nyawa manusia, misalnya tanah runtuh dan juga gempa bumi. Terdapat banyak negara-negara yang sedang diancam hakisan tanah. Di negara-negara tertentu juga, angin menjadi salah satu agen yang boleh menyebabkan hakisan. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang boleh menyebabkan
hakisan adalah pembersihan dan pembajakan serum bukit yang menyebabkan tiada tumbuhan yang dapat menahan tanah daripada dialirkan bersama-sama dengan air apabila hujan lebat, penebangan hutan, padang ragut yang meluas dan berlebihan, dan penanaman secara meluas dengan hanya satu jenis tanaman.


3.1.2 PENCEMARAN BUNYI

Pencemaran bunyi adalah keadaan dimana sesuatu bunyi itu tidak disukai kerana memberi ketidakselesaan terhadap pendengaran. Secara saintifik, ia didefinisikan sebagai signal yang tidak memberi apa-apa informasi dan kekuatannya berubah secara mendadak dari masa ke semasa. Pencemaran bunyi mungkin tidak diambil perhatian secara serius namun ia juga memberi kesan buruk terhadap dunia pada masa kini. Pencemaran bunyi berpunca daripada kenderaan, perindustrian, pembinaan, persekitaran dan sebagainya.

Antara punca-punca pencemaran bunyi ialah:
1- Bunyi kenderaan bermotor merupakan penyumbang ke arah pencemaran ini.
2- Industri tertentu juga merupakan penyumbang kepada pencemaran bunyi. Ianya datang dari bunyi jentera, mesin dan sebagainya.
3- Aktiviti di kawasan kuari juga merupakan salah satu punca pencemaran bunyi. Pemecahan batu dengan menggunakan jentera berat seperti gerudi menjadikan bunyi yang terhasil amat kuat dan menyakitkan telinga.

Kesan-kesan pencemaran bunyi terhadap manusia termasuklah menggangu persekitaran dengan keadaan bunyi yang bising dan melampau. Pencemaran bunyi menyebabkan keadaan persekitaran sangat bising dan menjadikan kehidupan manusia serta hidupan lain terganggu. Haiwan juga akan merasa takut dan terpaksa berhijrah ke habitat baru yang lebih senyap. Ini akan menyebabkan gangguan ekosistem dan memberi masalah kepada manusia juga.

Pencemaran bunyi juga menyebabkan kerosakan pada telinga manusia. Kesan-kesan di luar telinga pula adalah seperti kesan fisiologi iaitu meningkatkan tekanan darah, meningkatkan pergerakan otot, meningkatkan pergerakan gastrik dan pembesaran pupil. Seterusnya kesan psikomatik, seperti sakit kepala, pening, loya, muntah, pergerakan mata tak dapat dikawal, gangguan percakapan, dan juga perubahan tingkahlaku.

3.1.3 PENCEMARAN KIMIA

Pencemaran kimia berlaku akibat daripada penggunaan bahan kimia dalam aktiviti pertanian dan perindustrian. Pencemaran kimia mampu memberikan kesan kepada alam sekitar dan seterusnya kepada manusia. Terdapat tiga jenis pencemaran kimia iaitu racun makhluk perosak, raksa dan arsenic dan florida.

Racun Makhluk Perosak merupakan pencemaran yang disebabkan oleh sector pertanian. Bagi menjamin kualiti tanaman, petani lazimnya menggunakan rancun makhluk perosak bagi membendung masalah ancaman serangga dan binatang yang memakan tanaman pertanian mereka. Penggunaan racun makhluk perosak secara tidak terkawal menyebabkan bahan kimia yang terkandung di dalam racun tersebut mencemarkan udara, sumber air berdekatan, sumber air bawah tanah, tanah, tumbuhan dan makanan. Kesan pencemaran tersebut menyebabkan pertumbuhan dan perkembangan yang abnormal serta kegagalan tubuh badan untuk berfungsi secara normal, gangguan endokrina yang menyebabkan barah payu dara dan kemandulan, kecacatan pertumbuhan pada system saraf dan gangguan system imunisasi.

Pencemaran kinia yang kedua adalah raksa. Raksa adalah sejenis logam toksik yang berbentuk cecair atau gas dan lazimnya wujud di air, udara, tanah dan makanan dalam jumlah yang amat kecil. Ia berlaku apabila air tercemar dengan raksa dan memberikan kesan kepada hidupan akuatik. Manusia yang menjadikan sumber hidupan akuatik sebagai sumber makanan akan turut terjejas dan menyebabkan barah, radang paru-paru dan kerencatan pada janin di dalam kandungan.

Pencemaran kimia yang ketiga adalah arsenic dan florida. Ia merupakan pencemaran yang berlaku pada sumber air di bawah tanah. Arsenik dapat memudaratkan hati, ginjal dan paru-paru manakala florida pula memudaratkan tulang dan sendi.

3.1.4 PENCEMARAN RADIASI

Pencemaran radiasi merupakan satu pencemaran yang mampu memberikan impak negatif kepada kesihatan manusia. Pencemaran ini mampu memudaratkan manusia seperti kecacatan otak, kecelaruan tingkah laku, barah tairoid (WHO, 1995) dan kesan psikologi.
Pencemaran ini berlaku akibat dedahan terhadap bahan radioaktif, tenaga nuclear, gelombang electromagnet dan gelombang mikro.

3.2 PENUTUP

Faktor-faktor alam sekitar adalah penting dalam menilai kualiti hidup memandangkan alam sekitar memberi kesan secara langsung ke atas kehidupan manusia sejagat. Alam sekitar merupakan satu pemberian yang amat istimewa kepada umat manusia. Manusia sebagai khalifah yang berakal diberi peranan untuk menjaga dan memelihara alam sekitar tetapi peranan yang istimewa ini acapkali diper¬lekehkan dalam perlumbaan untuk mencapai kemajuan. Rakus dengan pembangunan, perkembangan teknologi dan penerokaan di pelbagai bidang, manusia kini lupa akan kepentingan alam sekitar kepada kehidupan sejagat.

Sejak kebelakangan ini dunia digem¬parkan dengan berita dahsyat seperti gempa bumi, tsunami dan banjir besar yang melanda dengan skala yang besar. Bahang kemarahan alam sekitar turut dirasai oleh Malaysia yang selama ini selesa di zon selamat. Kita lihat bagaimana banjir besar melanda negeri Jo¬hor. Paling menyedihkan bencana seperti ini boleh dielakkan sekiranya langkah pencegahan diambil. Masyarakat perlu peka kepada kemusnahan yang bakal terjadi jika alam sekitar terus menerus dicemari dengan aktiviti manusia.

Justeru, manusia haruslah menjalankan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar iaitu dengan mengawal dan mencegah pencemaran, mengambilkira faktor alam sekitar dalam perancangan pembangunan, perindustrian dan pengurusan sumber semulajadi secara berkekalan. Program seperti program pemantauan, pendidikan, penyebaran maklumat,latihan, penyelidikan dan pembangunan mengenai alam sekitar serta kerjasama dan penyelarasan di antara agensi yang berkaitan amat diperlukan bagi membendung masalah pencemaran yang kian berleluasa ini.

Diharap agar tindakan dapat diambil dengan drastik dan mengikut piawai yang telah ditetapkan agar generasi manusia akan datang dapat menikmati alam sekitar yang berkualiti.

by: Nurulhaslin binti Zainol
Suhaila Shaari

3.0 BIBLIOGRAFI


Mohd Najmei bin Mohamad. (2007). KAJIAN TERHADAP KEBERKESANAN STRUKTUR PERANGKAP. Kuala Lumpur : University Teknologi Malaysia.

Mohd Rozali Othman, Mohd Talib Hj. Latif & Tai Kek Siong. (2006). The Malaysian Journal of Analytical Sciences Vol 10 No 2 (2006): 191-196: AIR LARIAN SEBAGAI PENUNJUK PENCEMARAN. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd. Talib Latif, Mohamed Rozali Othman & Zaharizam Johnny. (2006). The Malaysian Journal of Analytical Sciences, Vol 10, No 2: KAJIAN KUALITI UDARA DI BANDAR KAJANG, SELANGOR. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shaharuddin Ahmad, Noorazwan Md Hashim.(2006). Journal Jilid 1 Bil 1:Julai-Disember 2006. KEBAKARAN HUTAN DAN ISU PENCEMARAN DI MALAYSIA: Kes Jerebu Pada Ogos 2005. Selangor : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zarina Law Abdullah & Abdul Latif Ahmad. (2009). HEHE1103 Pengenalan Pendidikan Kesihatan. Selangor : Open Universiti Malaysia.

Rujukan Atas Talian (Rujukan akhir 4 Mac 2010)

http://www.doe.gov.my/ms/content/punca-punca-pencemaran-udara
www.mrvalsonz.blogspot.com
http://www.doe.gov.my/ms/content/punca-punca-pencemaran
http://kudeed.tblog.com/post/1969953506
http://www.sabah.org.my/bm/kenali_sabah/as_pencemaran_bunyi.asp
http://lttan.tripod.com/punca.htm
http://mazlan66.wordpress.com/2009/05/25/punca-berlakunya-pencemaran-air/
http://www.scribd.com/doc/26603312/punca-pencemaran
http://www.scribd.com/doc/26840097/Pencemaran-Alam-Sekitar

1 comment:

  1. Borgata Hotel Casino & Spa - Mapyro
    Find the 남원 출장안마 best prices on Borgata Hotel Casino & Spa in 구리 출장안마 Atlantic City 양산 출장마사지 with MapYR.com's complete casino and 의정부 출장마사지 resort information, 아산 출장마사지 map,

    ReplyDelete