Pendahuluan
Dewasa ini, keperluan pendidikan dan latihan di sekolah telah mengalami pelbagai cabaran dan anjakan paradigma acapkali terlaksana impak dari arus pemodenan di dalam sistem pendidikan di seluruh dunia. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi multimedia telah meninggalkan impak yang optimum kepada sistem pendidikan. Namun begitu, timbullah persoalan samada teknologi pengajaran yang dicipta itu sesuai atau releven isi kandungannya dalam program pendidikan masa kini. Ini kerana teknologi sentiasa mengalami perubahan dan memperkenalkan kemahiran baru. Disamping itu, kesesuaian kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada mestilah seiring dengan pembangunan arus teknologi yang pantas berubah pada masa kini. Penggunaan teknologi baru dapat membantu kita menyimpan, memproses maklumat dan berkomunikasi dengan lebih pantas dan tepat. Ini dapat melahirkan tenaga pengajar yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk menggunakan sepenuhnya sistem maklumat yang terkini. Persoalan di atas dapat diselesaikan jika teknologi pengajaran berperanan sepenuhnya di dalam sistem pendidikan.
Peranan Teknologi Pengajaran
Teknologi pengajaran merupakan aplikasi media, sistem, pendekatan dan teknik –teknik ke arah pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Antara peranan teknologi pengajaran dan pendekatan yang dapat menggalakkan persekitaran pembelajaran positif ialah mengubah peringkat membuat keputusan, mengubah sistem atau pendekatan pengajaran dan mengubah pengalaman pembelajaran.
Mengubah Peringkat Membuat Keputusan
Seperti yang telah kita ketahui, di Malaysia sukatan pelajaran ataupun kurikulum sekolah telah ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sukatan tersebut telah digubal berlandasakan aras kemahiran murid mengikut peringkat umur. Semasa perancangan sukatan atau kurikulum ini diolah dan digubal, perancang kurikulum ini akan berkerjasama dengan pereka pengajaran untuk menentukan penggunaan teknologi pengajaran dalam kurikulum sekolah.
Pada masa dahulu, penggunaan media dirancang semasa kurikulum dilaksanakan. Oleh yang demikian, pelbagai masalah telah timbul seperti kurangnya persediaan guru semasa menlaksanakan pengajaran dan pembelajaran dan kesukaran mendapatkan bahan media yang sesuai untuk membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Di sini dapat dijelaskan peranan teknologi pengajaran telah berperanan merubah kebiasaan yang telah dilaksanakan pada masa dahulu. Sistem pendidikan kini lebih efision dan mampu melahirkan pembelajaran yang berkesan kepada pelajar dalam masa yang lebih singkat.
Sebagai contoh, dalam pelaksanaan PPSMI iaitu Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris, kurikulum yang telah gariskan dan sumber media yang dihasilkan dirancang secara seiring. Ini dapat memudahkan guru dalam memilih sumber media yang bersesuai untuk digunakan di dalam kelas. Selain daripada menjimatkan masa guru ia juga mampu memberikan impak kepada pembelajaran yang lebih berkesan dan sistematik.
Dengan adanya teknologi pengajaran, pelaksanaan pengajaran berlandasakan kurikulum yang telah ditetapkan menjadi lebih berkesan, mudah, berteknologi terkini dan memberikan impak positif kepada pembelajaran pelajar dan seterusnya sistem pendidikan.
Mengubah Sistem atau Pendekatan Pengajaran
Selain daripada mengubah peringkat membuat keputusan, teknologi pengajaran juga berperanan untuk mengubah sistem atau pendekatan pengajaran. Hasil pembaharuan teknologi pengajaran ia dapat mempengaruhi sistem atau pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran. Teknologi pengajaran juga dapat menukar sistem atau pendekatan pengajaran konvensional, menerima sistem pembelajaran jarak jauh, sistem kelas terbuka atau sistem sekolah bebas.
Sebagai contoh, hasil teknologi pengajaran kini dapat menghasilkan sistem yang lebih sistematik dan teratur yang dapat memberi manfaat kepada guru dan pelajar serta memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Penciptaan perisian bagi menyediakan jadual waktu guru (System Windjaws), dan yang terkini sistem pengajaran berdasarkan ‘IES’ (Interaction Education System) dapat memudahkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Dalam perisian IES guru menggunakan komputer semasa pelaksanaan pengajaran dan murid memberikan maklum balas dengan menggunakan ‘remote control’ secara individu untuk memberikan maklum balas. Melalui sistem ini guru dapat mengesan hasil pembelajaran dengan lebih cepat iaitu pada setiap kali pengajaran. Guru juga dapat mengenalpasti aras kefahaman pelajar secara individu dengan lebih mudah.
Teknologi pengajaran juga telah merubah sistem pengajaran dengan adanya sistem pembelajaran jarak jauh yang menggunakan teknologi maklumat sebagai pengantara ilmu. Jelaslah di sini teknologi pengajaran dapat mewujudkan persekitaran pengajaran yang positif. Hasil kajian dan ciptaan teknologi yang canggih daripada para ilmuan cerdik pandai telah memungkinkan perubahan kepada kepelbagaian sistem dan pendekatan yang lebih produktif bagi melahirkan generasi ilmuan yang lebih ulung.
Mengubah Pengalaman Pembelajaran
Penggunaan teknologi pengajaran juga dapat mengubah pengalaman pembelajaran. Pengalaman pembelajaran amat penting untuk menjadikan pembelajaran yang berkesan, iaitu pembelajaran yang dapat mengubah tingkah laku pelajar. Oleh yang demikian, pengalaman pembelajaran merupakan aspek yang penting di dalam pelaksanaan kurikulum.
Bagi menjayakan kurikulum, perancangan yang teliti dan rapi hendaklah diatur supaya ia dapat membantu pelajar mendapatkan pengalaman pembelajaran berlandaskan objektif yang ditentukan oleh guru berdasarkan sukatan pelajaran yang telah digubal.
Perancangan seperti penggunaan media yang sesuai sama ada menggunakan aplikasi komputer, simulasi, tunjuk cara atau apa jua bahan yang dapat membantu murid memahami pembelajaran hendaklah ditentukan agar pemikiran secara kritis dan kreatif dapat dijana di dalam kelas supaya pelajar mampu mengaplikasikan pembelajaran dengan kehidupan seharian mereka.
Teknologi pengajaran ini juga telah merubah sistem pengajaran dengan adanya pelbagai kaedah dan teknik-teknik pembelajaran seperti pembelajaran secara berkumpulan atau bersendirian, bersama sumber manusia (tenaga pengajar) dan bukan teknologi (perisian komputer), pembelajaran koperatif dan melibatkan pelajar secara aktif disamping menggalakkan pelajar berfikir dengan lebih kritis dan kreatif. Perubahan ini penting bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar bagi menguasai sesuatu pelajaran.
Pendekatan yang Dapat Menggalakkan Persekitaran Pembelajaran Positif
Penggunaan tekonologi pengajaran yang berkesan dapat merangsang persekitaran pembelajaran yang positif (berkesan) dan dapat menarik minat pelajar. Penggunaan teknologi terkini seperti penggunaan laptop, tayangan slaid dapat meransang perhatian pelajar secara optimum jika dilaksanakan dengan sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan pembelajaran yang dapat dilaksanakan di dalam kelas dengan mengunakan teknologi pendidikan bagi menjana persekitaran pembelajaran yang berkesan. Antara pendekatan yang dapat diperaktikkan bagi menggalakkan persekitaran pembelajaran yang positif adalah pendekatan koperatif, pembelajaran kolaboratif, pendekatan berkumpulan dan pendekatan individu.
Pendekatan Koperatif
Pendekatan koperatif ialah pembelajaran yang melibatkan pelajar bekerjasama untuk belajar dan bertanggungjawab ke atas setiap ahli kumpulannya. Dalam pendekatan ini, semua ahli hendaklah bekerjasama di dalam kumpulan bagi menyelesaikan masalah yang diberikan. Di dalam pendekatan ini guru bertanggungjawab untuk memastikan pelajar dapat berkerjasama di dalam kumpulan dengan baik. Kemahiran bersosial dikalangan ahli kumpulan dititik beratkan supaya dapat membantu ahli kumpulan mencapai objektif dan mengekalkan hubungan yang positif. Dalam melaksanakan pendekatan ini guru hendaklah memberikan motivasi kepada pelajar seperti pengiktirafan dan penghargaan sekiranya dapat melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik.
Sebagai contoh, dalam mata pelajaran sains, guru memberikan tugasan kepada murid untuk mencari sesuatu maklumat yang berkaitan dengan Sistem Solar. Murid diberikan masa untuk mencari maklumat secara berkumpulan di dalam perpustakaan dan makmal komputer. Hasil dapatan tersebut dibentangkan di dalam kelas dengan menggunakan aplikasi media yang dihasilkan oleh murid. Aktiviti sebegini dapat melahirkan murid yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, celik IT dan dapat berkomunikasi dengan berkesan.
Pendekatan Kolaboratif
Pembelajaran kolaboratif memerlukan penglibatan semua ahli kumpulan. Ia memerlukan idea yang mencabar, menyokong dan menambah baik sesuatu idea sehingga mencapai persetujuan kumpulan. Dalam pendekatan ini, pelajar akan mengumpul idea atau data, berkongsi pengalaman, berbincang sesama mereka, dan menyelesaikan masalah bersama. Dalam pendekatan ini juga, setiap ahli kumpulan hendaklah memberikan komitmen bagi melaksanakan tugas yang diberi dan sedia untuk saling membantu bagi meningkatkan prestasi akademik meraka.
Sebagai contoh, dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran sains, guru meminta pelajar mencari satu penyelesaian bagi satu permasalahan seperti faktor yang mempengaruhi pengaratan. Murid diminta untuk mengkaji faktor yang mempengaruhi pengaratan dan melakukan satu eksperimen bagi menyokong pendapat mereka. Di sini, guru dapat menggalakkan murid untuk menggunakan pelbagai sumber media pengajaran bagi membantu mereka, seperti tayangan slide show, hasil pemerhatian dan perolehan maklumat dari sumber internet. Disamping menggalakkan pelajar berkomunikasi, guru juga dapat memberikan penekanan terhadap penggunaan teknologi pendidikan seperti mencari bahan di internet.
by: Nurulhaslin Zainol
No comments:
Post a Comment