Friday, December 30, 2011

GURU PENDIDIKAN MORAL

PENGENALAN

“GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA” demikianlah tema bagi Hari Guru pada Tahun 2011 ini. Tema yang begitu mengharapkan agar golongan pendidik dapat melebarkan akal modal insan yang diasuh supaya menjadi masyarakat yang mampu menjana transformasi di dalam pelbagai bidang kelak. Justeru, sebagai seorang guru sudah tentulah kita mengharapkan dan meletakkan wawasan yang tinggi ke arah pembentukan modal insan terutamanya di dalam bidang sains dan teknologi yang amat dahagakan para ilmuan, orentalis dan cendekiawan yang segar dengan inovasi terkini menurut peredaran zaman.

Di dalam merencanakan pembangunan sains dan teknologi serantau Bumi Malaysia, harus juga ditekankan kepada pembangunan akhlak, moral dan jati diri dikalangan modal insan agar ilmu yang digendong terus mekar dengan keperibadian mulia bagi menjamin kesejahteraan Negara kita yang kaya dengan pelbagai keturunan anak dan bangsa. Ini selaras dengan Matlamat Pendidikan Moral di Malaysia iaitu untuk membentuk individu yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan boleh menyumbang ke arah keharmonian dan kestabilan negara serta masyarakat global. (Sumber: Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral, 2003).

Justeru, pembangunan modal insan dari segi sahsiah ini amat memerlukan sokongan jitu dari pendidik yang memacu mata pelajaran Pendidikan Moral di sekolah. Para guru Pendidikan Moral haruslah sentiasa segar dengan ciri-ciri guru yang cemerlang agar dapat menjayakan matlamat ini dengan gemilang. Guru juga haruslah berketerampilan, mempunyai daya tarikan yang dapat mendorong pelajar untuk bermotivasi mendengar dan melaksana ilmu yang diterbitkan olehnya.

CIRI-CIRI PERSONALITI GURU PENDIDIKAN MORAL

Bagi merencanakan tugasan ini saya telah memilih dua orang guru bagi mata pelajaran Pendidikan Moral yang dilihat mempunyai ciri-ciri personaliti yang mampu menarik minat pelajar-pelajar dan saya sendiri untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Moral yang hendak disampaikan.

Personaliti dari aspek psikologi bermaksud corak tingkah laku, pemikiran dan emosi seseorang individu itu dan cara bagaimana interaksi berlaku antara sesama individu lain. (Prof. Dr. Khadijah Rohani Mohd. Yunus. et.all. 2007)

Menurut Abdul Majid (1997), personaliti ialah perkaitan antara pemikiran, emosi dan perasaan dengan perlakuan manusia. Personaliti menggambarkan sifat keperibadian seseorang. Ia dikaitkan dengan perwatakan. Personaliti boleh dikaji melalui tingkah laku, percakapan dan cara menyelesaikan masalah. Sementara itu, Murugian (1996) pula telah menghuraikan personaliti sebagai perwatakan yang lahir daripada diri seseorang tanpa dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Personaliti yang baik semestinya diterapkan di dalam diri individu itu. Personaliti yang ada pada seorang guru menjamin kecermerlangan pencapaian akademik secara menyeluruh kerana personaliti yang baik dapat meningkatkan motivasi dan pelajar. Hal ini didokong oleh Barrick dan Mount (1991) ; Hough dan Ones (2001) ; Salgado (1997) yang menegaskan personaliti berupaya untuk menjadi peramal yang sah kepada prestasi kerja individu, terutamanya dalam bidang perguruan.

USAHA-USAHA MENINGKATKAN TARAF MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL


Pendidikan Moral lazimnya menjadi mata pelajaran minor yang disisihkan di sekolah. Pelaksanaan mata pelajaran ini di sekolah acapkali diambil enteng kerana ia bukanlah daripada sujek teras di dalam peringkat pendidikan sekolah rendah. Pembahagian jadual pelaksanaan sesi pegajaran dan pembelajaran bagi subjek ini juga sering diambil mudah. Rata-rata pentadbir di peringkat Sekolah Rendah menganggap mata pelajaran ini sebagai mata pelajaran pelengkap jadual waktu sahaja. Lantaran itu, guru-guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Moral adalah bukan dikalangan guru opsyen. Sering juga guru yang mengajar subjek ini bertukar ganti sepanjang tahun apabila jadual waktu guru bertukar.

Pelbagai usaha telah diambil bagi kedua-dua orang guru yang menerajui mata pelajaran ini bagi menambah dan meningkatkan taraf mata pelajaran Pendidikan Moral ini. Di antara usaha yang dijalankan oleh mereka dan ahli panitia Pendidikan Moral di sekolah ini adalah:

i. menambah sumber pengajaran dan pembelajaran

ii. mengadakan latihan dan bengkel berkaitan pendidikan moral

iii. mengadakan bilik akses bahan pendidikan moral

iv. menyediakan suasana pembelajaran yang selesa

MENAMBAH SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Pada peringkat awal sekolah di buka pada tahun 2005, terdapat pelbagai kekurangan bagi mendapatkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Moral. Ini kerana pihak sekolah lebih banyak menghabiskan peruntukan yang diberikan bagi menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi subjek-subjek teras. Guru-guru Pendidikan Moral telah berusaha menyediakan bahan-bahan bantu mengajar bagi membantu mereka di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru ini juga mengadakan pelbagai aktiviti pertandingan di kalangan pelajar bagi menambah bahan pembelajaran seperti pertandingan mereka model rumah ibadat, buku skrap dan persembahan power point bagi topik-topik yang diajar di dalam silibus Pendidikan Moral.

MENGADAKAN LATIHAN DAN BENGKEL BERKAITAN PENDIDIKAN MORAL

Oleh kerana ramai guru yang mengajar subjek Pendidikan Moral adalah daripada guru yang bukan opsyen, latihan dalam perkidmatan, perbincangan profesional dan bengkel-bengkel bagi membincangan hal-hal berkaitan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Moral ini telah diadakan secara berperingkat. Mereka juga cuba mempertahankan agar guru-guru yang telah mengikuti kursus dalam perkhidmatan bagi subjek ini dikekalkan untuk mengajar subjek ini pada tahun-tahun berikutnya.

Latihan, bengkel dan perjumpaan profesional ini diadakan bagi memberikan pengisian kepada guru-guru mengenai kaedah, pendekatan dan teori yang doleh digunakan bagi mengajar subjek ini. Selain dari itu, guru-guru juga akan diberikan taklimat tentang bagaimana menyediakan rancangan mengajar bagi mata pelajaran Pendidikan Moral.

MENGADAKAN BILIK AKSES BAHAN PENDIDIKAN MORAL

Setelah berusaha menghasilkan kertas kerja bagi penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Moral, guru-guru ini telah berjaya meyakinkan pihak pentadbir sekolah untuk mengendalikan sebuah Bilik Akses bagi mata pelajaran Pendidikan Moral. Antara kandungan di dalam Bilik Akses ini adalah pelbagai jenis buku rujukan bagi mata pelajaran Pendidikan Moral, kad-kad soalan akses kendiri, dan bahan-bahan pameran bagi subjek ini seperti buku-buku skrap yang telah dihasilkan oleh pelajar dan model-model binaan pelajar. Bilik ini telah dihiasi dengan ceria, cantik dan bermaklumat.

MENYEDIAKAN SUASANA PEMBELAJARAN YANG SELESA DAN BERKESAN


Guru-guru ini cuba untuk menyediakan suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif seperti menyedikan bahan-bahan bantu mengajar yang menarik, menyusun dan mempelbagaikan aktiviti yang menarik minat murid. Selain dari itu susun atur di dalam Bilik Pendidikan Moral juga telah diubahsuai dengan kreatif dan selesa bagi kegunaan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Halpin dan Croft (1963), iklim sekolah yang berkesan mempunyai ciri-ciri berikut:

i. guru-guru merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan,

ii. guru-guru tidak rasa tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan murid-muridnya,

iii. pengetua merasa penuh yakin terhadap kerjanya, serta bertimbang rasa, dan

iv. pelajar merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh

ULASAN KRITIKAL KEBERKESANAN USAHA PENINGKATAN TARAF MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL

Usaha bagi meningkatkan taraf mata pelajaran Pendidikan Moral adalah amat penting dewasa ini kerana Negara yang terdiri daripada pelbagai generasi dan keturunan ini memerlukan pengisian dari segi emosi, jasmani, rohani dan intelek bagi menjamin kekukuhan perpaduan dikalangan warganya. Justeru Pendidikan Moral di Malaysia merupakan satu jambatan bagi menyalurkan misi perpaduan Negara agar lebih jelas dan seterusnya dapat diperaktikkan oleh warganya. Ini seiring dengan Misi Nasional kina yang memberikan penekanan tinggi ke atas pembangunan modal insan ‘Minda Kelas Pertama’ sebagai pendekatan utama bagi melonjak ke status negara maju.(sumber : PIPP, 2006-2010).

Usaha yang diambil bagi menambah sumber pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru-guru ini adalah penting bagi menggapai wahana yang telah direncanakan. Kini sistem pendidikan kian berkembang dengan pesat. Guru yang cakna akan scenario ini akan sentiasa berusaha memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajarannya agar sentiasa segar dengan perkembangan pendidikan semasa. Kepelbagaian bahan pembelajaran adalah penting bagi menarik minat pelajar untuk menerima ilmu yang ingin disampaikan. Justeru, golongan kiai Pendidikan Moral haruslah berusaha memajukan bahan pembelajaran sejajar dengan fokus dan strategi pembangunan modal insan yang dicanangkan iaitu untuk menyediakan infrastruktur dan perkakasan mencukupi bagi pembestarian sekolah.

Kepentingan mempelbagaikan sumber pengajaran dan pembelajaran adalah penting bagi memastikan pelajar meminati subjek yang diajarkan. Ini juga jelas dinyatakan di dalam Fokus dan Strategi Membangunkan Modal Insan iaitu untuk memantapkan kurikulum dengan meneruskan pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. (sumber PIPP, 2006-2010).

Cara meningkatkan kualiti dan taraf Pendidikan Moral melalui sesi perbincangan professional, Latihan Dalam Perkidmatan, dan melalui bengkel-bengkel yang dianjurkan juga amatlah penting. Ini sejajar dengan Teras strategik PIPP yang ke-5 iaitu untuk Memartabatkan Profesion Keguruan. Berdasarkan PIPP peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan telah bertukar kepada guru sebagai pemudah cara dalam P&P, agen perubahan dan sumber inspirasi kepada pelajar. Guru harus kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem penyampaian P&P menjadi efektif, menarik dan menyeronokkan.

Dasar KPM adalah untuk memartabatkan profesion keguruan dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. Matlamat KPM adalah untuk menjadikan profesion keguruan dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara.

Bagi menjayakan PIPP, adalah penting mengadakan sesi pertemuan di antara guru yang membolehkan pertukan idea, dan bahan mengajar untuk memantapkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran. Melalui aktiviti ini guru boleh memperkayakan diri dengan meningkatkan kemahiran menggunakan ICT dengan baik agar dapat diaplikasikan di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Melalui latihan-latihan ini guru Pendidikan Moral dapat mengilhamkan inovasi yang dapat membantu di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Bilik Akses Kendiri bagi mata pelajaran Pendidikan Moral banyak membantu pelajar untuk mendapatkan bahan rujukan dan mengakses bahan-bahan bagi menyelesaikan projek, kerja rumah, melengkapkan nota dan tugasan yang diberikan. Usaha ini dapat menaikkan semangat pelajar untuk mempelajari mata pelajaran ini disamping membantu pelajar meningkatkan kemahiran belajar secara kendiri.

Suasana yang selesa dan kondusif yang telah diaplikasikan di dalam Bilik Pendidikan Moral amatlah bertepatan bagi melahirkan modal insan yang bersemangat waja untuk mempelajaran apa yang hendak disampaikan oleh guru kenyataan ini disokong oleh Ahmad Zabidi Abdul Razak (2006) yang menyatakan bahawa keadaaan yang selesa dan kondusif ini akan menjadikan guru-guru sentiasa bersemangat untuk memberikan komitmen yang terbaik dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya membantu meningkatkan motivasi pembelajaran.

CADANGAN DAN JUSTIFIKASI PELAKSANAAN ALTERNATIF YANG LEBIH BERKESAN

Mengamalkan Budaya Kerja Yang Cemerlang


Pendidikan merupakan wadah utama menentukan perkembangan kemajuan dan kemakmuran negara. Pendidikan menjadi peneraju dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. (Tan Sri Muhyiddin Yassin, 2011. Justeru guru perlu mempunyai budaya kerja yang cemerlang bagi mencapai matlamat ini.

Budaya cemerlang telah ditekankan di dalam FPN dan Wawasan 2020. Oleh itu, cita-cita yang besar ini perlu diiringi dengan kerja-kerja yang besar, pengorbanan dan perjuangan. Budaya cemerlang telah dijelmakan melalui Dasar Pandang ke Timur (1982), Bersih, Cekap dan Amanah (1982), Kepimpinan Melalui Teladan (1983) dan Penerapan Nilai-Nilai Islam (1985/86). Gerakan Budaya Kerja Cemerlang dilancarkan pada 20 November 1989. Penekanan ialah kepada mutu kerja dan produktiviti melalui penerapan nilai-nilai dan budaya kerja koporat . Pada 31 Oktober setiap tahun, iaitubermula dari tahun 1991, ditetapkan sebagai Hari Q perkhidmatan awam. Prestasi dan pencapaian bukanlah suatu yang statik. Manusia tidak boleh berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian yang dicapai. Satu konsep utama untuk membangunkan budaya cemerlang ialah amanah. Menurut Islam seluruh diri dan hidup manusia adalah amanah. Manusia bertanggung jawab untuk melaksanakannya dan penanggungjawabannya yang tertinggi ialah kepada Allah S.W.T. Kecemerlangan mesti dijadikan motto, pegangan dan amalan. Budaya kerja cemerlang yang disarankan oleh

Perkhidmatan Awam Malaysia mengandungi dua nilai utama dan lima nilai sokongan. Nilai-nilai utama ialah keutuhan (integrity) dan prestasi yang bermutu. Nilai-nilai sokongan pula ialah berorentasikan pelanggan, berorentasikan kemanusiaan, inteletualism, profesionalisme dan daya serta disiplin diri. Sementara itu dalam budaya koporat diutamakan rasa kepunyaan, kesetiaan. partisipasi, komitmen, dedikasi dan kecemerlangan.

Memantapkan Organisasi Dan Pentadbiran Kurikulum Sekolah


Guru-guru ini haruslah berusaha memberikan pemahaman kepada pihak pentabdir sekolah agar menganggap mata pelajaran Pendidikan Moral adalah sama penting dengan mata pelajaran lain. Ini kerana jika pihak pentadbir sekolah memainkan peranan yang penting di dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Menurut Wan Liz Ozman (1996), ketua sesebuah organisasi memainkan peranan yang besar dalam mencorak suasana kerja, motivasi, kelicinan dan keberkesanan organisasi tersebut. Seseorang pemimpin yang tidak mempunyai wawasan yang jelas mengenai objektif dan arah tujuan organisasinya sudah tentu tidak akan dapat mengemudikan organisasi tersebut ke arah matlamat yang tepat. Maju atau mundurnya sesebuah organisasi itu bergantung kuat kepada kualiti dan gaya kepimpinan pemimpin yang memegang tanggungjawab tersebut. Penerimaan ahli organisasi kepada pemimpin akan menentukan kecemerlangan organisasi tersebut.

Berkhidmat Dengan Ikhlas

Guru yang cemerlang dan mampu memberikan impak terhadap pembangunan modal insan haruslah sentiasa meningkatkan prestasi kerja bagi menjamin pembentukan modal insan yang berketerampilan dan cemerlang dari pelbagai bidang. Bekerja dengan jujur, ikhlas demi membangunkan anak bangsa yang bakal menerajui Negara kelak. Golongan hijau ini haruslah dipupuk mindanya agar produktif terhadap pembangunan Negara di masa akan datang.

“Pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan direncana dan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tujuan untuk memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah. Matlamat akhirnya sudah tentulah untuk menghasilkan anak didik yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi apa-apa makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif”. (Tan Sri Muhyiddin Yassin, 2011)

“Integriti bukan hanya satu nilai atau amalan yang perlu diamalkan setiap masa bahkan nilai murni itu mesti lahir dari sanubari setiap insan”.
(Tun Abdullah Ahmad Badawi, 2007).

Justeru guru pendidikan Moral haruslah mempunyai keazaman yang kukuh, dan keikhlasan yang luhur dalam mendidik para canterik agar cemerlang di dalam bidang pengajarannya.

CADANGAN BAGI MENINGKATKAN KEBOLEHAN DAN KEMAMPUAN GURU PENDIDIKAN MORAL YANG LEBIH BERKUALITI

Mengamalkan Prinsip Pembelajaran Di Dalam Bilik Darjah


Menurut Prof. Cr Khadijah Rohani et.all. (2009), Prinsip pembelajaran merujuk kepada dasar-dasar yang menerangkan cara pembelajaran boleh berlaku secara berkesan. Prinsip pembelajaran yang boleh dilaksanakan adalah:

i. Kesediaan pembelajaran

Pelajar hendaklah mempunyai kesediaan fizikal, mental, emosi sebelum memulakan sesuatu pembelajaran. Guru haruslah memastikan kesediaan belajar pelajar sebelum memulakan sesi P&P.

ii. Pengalaman

Menggunakan konsep pembelajaran secara kognitif iaitu pelajar mempelajari isi pelajaran secara aktif. “Pelajar akan belajar melalui membuat” iaitu membina pengetahuan baru melalui aktiviti yang dijalankan. Guru perlu menyediakan aktiviti yang dapat dijalankan pelajar untuk membina pengetahuan mereka sendiri.

iii. Unsur jenaka

Menyelitkan unsur jenaka di dalam sesi P&P supaya pelajar lebih mesra dan berminat untuk belajar. Guru yang peramah dan ceria akan menarik minat pelajar untuk belajar dengannya.

iv. Motivasi

Memotivasikan pelajar dengan peneguhan positif dan negatif di dalam pembelajaran agar pelajar merasa diri mereka dihargai dan diberi perhatian. Guru yang sering memotivasikan pelajar akan disayangi dan dijadikan sebagai role-model di dalam pembinaan sahsiah dan peribadi mereka.

Mengamalkan Ciri-Ciri Guru Yang Berkesan


Guru pendidikan moral juga perlu mengamalkan ciri-ciri guru yang berkesan untuk meningkatkan kebolehan dan kemampuan mereka sebagai guru pendidikan moral yang lebih berkualiti. Antara ciri-ciri guru yang berkesan adalah:

Menguasai Pedagogi, Teori dan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral


Menguasai pedagogi Pendidikan Moral adalah amat penting bagi seorang guru Pendidikan Moral Oleh yang demikian, guru Pendidikan Moral harus sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan melaui pelbagai medium seperti pembacaan dan pendidikan kendiri seperti melanjutkan pelajaran di dalam bidang Pendidikan Moral. Ini kerana guru Pendidikan Moral perlu menggunakan teknik dan strategi pengajaran yang pelbagai bagi menggalakkan pembangunan pelbagai kemahiran pelajar dan tahap di kalangan pelajar yang mempunyai pelbagai keupayaan, keperluan, minat, dan latar belakang (Martin et al., 1994).

Guru Pendidikan Moral juga perlu melibatkan pelajar dalam pembelajaran secara kolaberatif dengan menggunakan pelbagai teknik pembelajaran secara berkumpulan serta berkemahiran mengaplikasikan pelbagai alat-alat teknologi dalam mencari maklumat, mengumpul dan memproses data dan mempermudahkan pembelajaran Pendidikan Moral. Di samping itu, guru juga perlu memahami kerangka alternatif pelajar dan berusaha mengubahnya ke arah pemahaman konsep yang sebenar dan menimbulkan persekitaran yang selamat dan menggalakkan pembelajaran (Driver, 1983).

Guru juga perlu menguruskan masa dengan cekap supaya segala perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan efektif (Behet, 1997; Everston dan Harris; 1992; Ross 1992 dan Palincsar dan Brown 1989).

Meningkatkan Prestasi Ke Arah Pembangunan Profesional


Guru Pendidikan Moral secara berterusan perlu berusaha untuk membangun dan berubah secara personaliti mahupun profesional bagi memenuhi pelbagai kehendak pelajar, sekolah, komuniti dan profesyen (Osborne dan Freyberg, 1985). Guru juga perlu mempunyai hasrat dan kecenderungan yang tinggi dalam usaha untuk berkembang dan maju ( Sufean, 1996). Oleh itu, guru Pendidikan Moral seharusnya melibatkan diri secara aktif dan berterusan mencari peluang-peluang untuk mempertingkatkan kemahiran diri seperti bengkel keprofesionalan dan kepimpinan yang berupaya memenuhi kriteria guru sains yang cemerlang (Ogborn, 1977).

Amalan Refleksi Di dalam Pengajaran


Pemikiran dan amalan refleksi dianggap sebagai suatu aktiviti kognitif. Dewey (1933) menegaskan bahawa proses refleksi yang melibatkan berlakunya ketakseimbangan dalam struktur kognitif mengakibatkan individu berfikir secara aktif dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian. Dalam kajian yang dijalankan oleh Bell dan Davis (2000) mendapati proses pemikiran dan amalan refleksi yang dimuatkan dalam sesuatu perisian saintifik dapat menyokong dan membantu merangsang pelajar melakukan aktiviti kognitif bagi memahami dengan lebih jelas sesuatu konsep pembelajaran. Refleksi merupakan suatu proses pembangunan diri dan penambahbaikan berterusan bagi mencapai tahap keprofesionalan dalam kerjaya khususnya kerjaya perguruan (Corcoran dan Leahy, 2003).

Menurut Steffy dan Wolfe (1997), guru yang berkesan perlu membangunkan satu orientasi terhadap kerjanya termasuk proses pembaharuan dan penambahbaikan dalam prestasi pengajaran yang dilaksanakan. Kajian yang dilakukan oleh Mills dan Satterthwait (2000) ke atas guru pelatih tahun pertama di Universiti Queensland bagi mengkaji persepsi guru pelatih terhadap elemen yang perlu ada pada seseorang guru yang efektif mendapati kebanyakkan guru pelatih menyatakan bahawa dengan mengamalkan pemikiran dan amalan refleksi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu mereka menambahbaik proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif dan berkesan.

Mempraktikkan amalan refleksi secara berterusan bagi mengenalpasti cara dan teknik untuk memperbaiki segala kelemahan diri dengan mengumpulkan maklumat daripada pelajar, penyelia, rakan sejawatan serta perbincangan yang dilaksanakan bersama ibu bapa, rakan-rakan dan lain-lain. Keseluruhannya, matlamat pengajaran sains yang berkesan sebagaimana yang telah dibincangkan menjadi asas dan hala tuju yang cuba dicapai dan dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral oleh guru-guru Pendidikan Moral.

PENUTUP

Selain daripada memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral seorang guru Pendidikan Moral juga haruslah mempunyai memiliki bakat, minat, panggilan jiwa, dan idealisme sebagai seorang pendidik. Profesionalisme dalam pendidikan memerlukan guru yang mampu mempunyai “instinct” bagi memahami kerenah pelajarnya. Guru juga harus menguasai secara mendalam di dalam bidang keilmuannya bagi memantapkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Justeru guru haruslah sentiasa bersikap positif agar mampu "membangun" manusia muda dengan penuh rasa percaya akan diri sendiri melalui penambahan ilmu yang sentiasa segar diminda. Ini adalah penting bagi menjamin Pendidikan Moral di sekolah mampu melahirkan cendekiawan yang penuh dengan rasa tanggungjawab, serta mampu mengekalkan kesejahteraan Negara. Jika guru dapat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan baik dan jitu maka akan tercapailah visi yang pernah dilahirkan oleh
Allahyarham Aminuddin Baki, yang mengimpikan satu sistem pendidikan negara yang memaparkan perpaduan kaum sebagai satu usaha utama yang harus dilakukan. Visi ketiga yang ingin diketengahkan ialah, mengutamakan pendidikan moral sebagai satu usaha untuk memelihara warisan ketimuran. Ini kerana masyarakat Tanah Melayu yang berbilang bangsa dan kaya dengan nilai hidup masyarakat.. Nilai-nilai moral ini perlu ada sejajar dengan perkembangan zaman dalam mencapai kemajuan. Bagi mencapai hasrat ini adalah melalui pendidikan, dengan memperkemaskan proses pendidikan agar tujuan tercapai. Ini selaras dengan hasrat
KPM untuk membangunkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa.

Haruslah diingat wahai golongan kiai Negara, peranan pendidikan penting untuk melahirkan semangat cintakan negara. KPM berhadapan dengan cabaran besar melahirkan pelajar dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia. Harapan KPM adalah memupuk jati diri melalui kurikulum, program kurikulum dan sukan serta berharap agar sistem pendidikan dapat melahirkan warganegara glokal yang mampu bertindak dengan bijak untuk menghadapi cabaran dan ancaman globalisasi dan leberalisasi.


BIBLIOGRAFI

AHMAD ZABIDI ABDUL RAZAK.(2006) Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi. Pembelajaran Jurnal Pendidikan 31 3 - 19 3: KPM

Brophy, J. E. dan Good, T. L. (1986). Teaching behavior and student achievement. In M.

C. Wittrock (Ed.), Handbook of research on teaching, 3rd ed., (pp. 328-375).

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA. Teks ucapan Sambutan Hari Guru 2011Tan Sri Muhyiddin Yassin, 2011.

Halpin, A.W. & Croft D.B. 1963. The organizational climate of school. Chicago: Midwest Administration Center, University of Chicago.

Lederman, N. G., dan Niess, M. (1997). The nature of science: Naturally? School Science and Mathematics. 97(1), 1-2. New York : Macmillan

Noraini Idris, Azis Nik Pa (Nik.).2006.Perjuangan Memperkasakan Pendidikan Di Malaysia. Jurnal Pendidikan. UTM. Tidak diterbitkan.

Ogborn J. (1977). Practical Work in Undergraduate Student. London:Heinman.

Osborne, R. dan Wittrock, M. (1985). The generative learning model and its implications for learning science. Studies in Science Education. 12, 59-87.

Prf. Dr. Khatijah Rohani Mohd Yunus. 2006. HBEF2103 PSIKOLOGI PENDIDIKAN. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn.Bhd.

Prf. Madya Dr. Wan Zah Wan Ali.etl 2005. HBEF3103 PRINSIP TEKNOLOGI PENGAJARAN. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn.Bhd.

Rahmad Shukor Abdul Samad. 2006. HBME1103 PENGENALAN PENDIDIKAN MORAL. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn.Bhd.

Rahmad Shukor Abdul Samad. 2007. HBME1203 PENDIDIKAN MORAL: TAHUN 1. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn.Bhd.

Rahmad Shukor Abdul Samad. 2007. HBME2103 PENDIDIKAN MORAL: TAHUN 2. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn.Bhd.

ROBIAH SIDIN. etl.all. (2001). Teknologi: Kesan Pendidikan dan Latihan Jurnal Pendidikan 27 (2001) 35 - 45. Pembudayaan Sains dan Teknologi: Kesan Pendidikan dan Latihan di Kalangan Belia di Malaysia. KPM.

Saharudin Suhaidi. 2008. HBME3103 PENDIDIKAN MORAL: TAHUN 4. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn.Bhd.

Wan Liz Ozman Wan Omar. 1996. Pengurusan Islam abad ke-21: Revolusi pengurusan untuk keunggulan sektor awam dan korporat. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. (1993) Kertas Utama Persidangan Pendidikan Nasional.

Wawasan 2020.Teks ucapan Dr Mahathir Mohamad 1991

http://b-naimem.tripod.com/wawasan.htm, 2011


No comments:

Post a Comment